Syaitan Golongan Mafia Dalam Kalangan Jin


PARA ulama berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggungjawab memperhambakan diri kepada Allah seperti manusia.

Firman Allah dalam surah al-Dhariyat ayat 56 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Justeru, jin sama dengan manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh sebab itu, terdapat dalam kalangan jin golongan yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: “Dan sesungguhnya antara kami (jin) ada orang yang soleh dan antara kami ada yang tidak demikian halnya. Kami menempuh jalan yang berbeza-beza.”


Jin merupakan makhluk Allah yang dicipta daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 yang bermaksud: “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas.”. Manakala iblis pula makhluk Allah yang derhaka daripada kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa iblis daripada jenis jin. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Kahfi ayat 50, maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’; lalu mereka sujud melainkan iblis. Ia berasal daripada golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh sebab itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedangkan mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti bagi orang yang zalim.”

Manakala syaitan pula adalah golongan yang ingkar daripada kalangan jin dan manusia. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-An‘am ayat 112 bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengah yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu mengkehendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh sebab itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan syaitan?

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Qur‘an, perkataan syaitan bermaksud “menjauhkan”. Oleh sebab itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan menggunakan pelbagai cara dan tipu daya.

Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan “mafia” yang ingkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain.

Syaitan berusaha melakukan “peperangan” dengan anak cucu Adam bagi membalas dendam atas pengusiran nenek moyang iblis mereka dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada Nabi Adam.

Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17, maksudnya: “Iblis berkata: ‘Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalang mereka (daripada menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.’”

Menurut Ibn Qayyim, maksud “jalan yang lurus” dalam ayat di atas ialah Islam ialah; jalan yang membawa kepada Allah s.w.t. Ini bersesuaian dengan hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan duduk (menghalang) anak Adam pada semua jalan.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i)

Bagaimanakah cara syaitan menghalang manusia?

Ibn Qayyim menyatakan lagi: “Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan tidak akan teragak-agak melakukannya”.

Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya. 

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Sukki Othman / Ustaz Shauqi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2
Syaitan Golongan Mafia Dalam Kalangan Jin Syaitan Golongan Mafia Dalam Kalangan Jin Reviewed by dsbbst on 19:05 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.