RAMADHAN DAN BELENGGU SYAITAN
Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
“Sesuai sekali dengan gelarannya sebagai bomoh sakti. Syaitan yang menggangu rumah banglo di tepi jalan itu akhirnya ditangkap dan dipenjarakan oleh si bomoh sakti. Penghuni rumah itu akhirnya hidup aman tenteram tanpa onar si syaitan.”
Itulah jangkaan dialog dari orang awam setelah mendengar cerita kehebatan seseorang yang mendakwa mampu menangkap jin atau syaitan. Benarkah jin dan syaitan mampu ditangkap atau dibelenggu oleh manusia biasa? Yang mendakwa tidak pula mampu membawa bukti zahir di depan mata kerana jin syaitan tidak dapat dilihat oleh mata manusia:
Ertinya: Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman (al-A’raf[7:27]).
Bagi Muslim yang beriman dengan perkara ghaib, asas utama bicara tentang perkara ghaib (seperti isu jin dan syaitan) adalah panduan wahyu kerana ia mutlak milik Allah:
Ertinya: Katakanlah lagi: “TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).
Tiada manusia yang paling hebat berbanding Rasulullah SAW. Adakah Rasulullah SAW mampu menangkap jin atau syaitan? Biarlah kisah Iblis mengganggu solat Rasulullah SAW dalam hadith ini menjawab soalan tersebut:
Ertinya: Si Musuh Allah, Iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah dari (kejahatan)mu” sebanyak 3, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak 3 kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! Kalaulah bukan kerana doa saudara kita nabi Sulayman (dalam surah Sad [38:35]), sudah pasti Iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah (Sahih Muslim).
Dalam hadith lain disebut pula jin Ifrit yang mengganggu:
Ertinya: Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku, walau bagaimanapun Allah membantuku untuk menewaskannya lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada salah satu tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat(nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulayman: {“Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya" (Sad[38:35]}, lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina (Sahih Muslim).
Mengapa baginda SAW menyebut nabi Sulayman? Rupanya kelebihan menangkap atau membelenggu Jin dan syaitan adalah mukjizat khusus nabi Sulayman AS:
Ertinya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami), Katanya: "WAHAI TUHANKU! AMPUNKANLAH KESILAPANKU, DAN KURNIAKANLAH KEPADAKU SEBUAH KERAJAAN (YANG TIDAK ADA TARANYA DAN) YANG TIDAK AKAN ADA PADA SESIAPAPUN KEMUDIAN DARIPADAKU; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ". Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendak ditujunya; Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). DAN JIN-JIN SYAITAN YANG LAIN DI PASUNG DALAM RANTAI-RANTAI BELENGGU (Sad [38:34-38]).
Kesimpulannya memang terdapat perselisihan pendapat tentang kemampuan manusia biasa menangkap jin dan syaitan. Semua perselisihan tersebut berpunca daripada cara memahami hadith di atas. Yang berkata Rasulullah SAW tidak mampu kerana ia adalah MUKJIZAT KHUSUS untuk nabi Sulayman AS sahaja. Yang mengatakan ia boleh ditangkap berkata, baginda SAW memang mampu, cuma melepaskan si jin yang mengganggunya demi menjaga adab dengan nabi Sulayman AS (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi). Secara peribadi saya cenderung kepada pendapat pertama, ia tak mampu ditangkap.
Apa yang pasti, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menangkap jin atau syaitan sebaliknya hanya mengusir mereka. Dalam sebuah hadith menyebut seorang wanita membawa anak kecilnya yang terkena rasukan syaitan bertemu nabi SAW. Baginda SAW lalu berkata kepada syaitan yang merasuk:
Ertinya: “Keluarlah kamu (dari tubuh anak ini) wahai musuh Allah, aku adalah utusan Allah!” Anak itu kemudiannya sembuh dan wanita tersebut memberikan nabi 2 ekor kibasy, dadih dan keju sebagai hadiah (Musnad Ahmad & Mustadrak al-Hakim).
Istimewa sekali untuk umat Islam, Allah berjanji akan mengikat jin dan syaitan sekali setahun pada bulan Ramadhan sebagaimana sabda nabi SAW:
Ertinya: Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu (Sahih al-Bukhari).
Pun begitu, maksud belenggu syaitan dalam bulan Ramadhan juga masih diperselisihkan para ulama’. Ada yang berkata memang syaitan derhaka dibelenggu dari bermaharajalela dalam maksud hadith secara hakiki. Ada pendapat lain berkata yang terbelenggu hanyalah syaitan yang paling jahat dan banyak onarnya. Ada juga yang memahaminya secara kiasan, iaitu kehadiran bulan Ramadhan yang penuh rahmat Allah seumpama membuka laluan mudah ke pintu syurga dan menjauhkan manusia dari pintu neraka.
Jika difaham secara hakiki, walaupun syaitan sudah dibelenggu, maksiat dan dosa masih boleh berlaku pada bulan Ramadhan kerana dorongan nafsu buruk manusia. Oleh itu, bulan Ramadhan sepatutnya menjadi medan latihan untuk melemahkan nafsu dengan cara berlapar. Orang yang berlapar akan kehilangan seleranya untuk melayan kehendak nafsunya.
Jauh lebih penting adalah setiap orang beriman wajib senantiasa membelenggu dan mengikat syaitan dalam dirinya agar syaitan tersebut gagal menghasutnya untuk menderhakai Allah. Menurut Ibn ‘Abbas, syaitan senantiasa mencangkung pada hati anak Adam. Apabila manusia terlupa si syaitan akan melebarkan pengaruhnya dengan hasutan jahat. Apabila manusia mengingati Allah, syaitan itu menjadi lemah (Tafsir al-Tabari pada tafsiran surah al-Nas [114:4-5]). Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa ilmu yang benar serta berpegang teguh kepada agama Allah adalah belenggu terbaik yang pasti akan menyelamatkan mereka dari gangguan syaitan secara zahir dan batin, baik ianya dalam bulan Ramadhan atau di luarnya.
* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:
https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl
http://pts.com.my/…/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-…/
Ramadhan dan Belenggu Syaitan
Reviewed by dsbbst
on
01:06
Rating:
No comments: