An-Nusyrah: Rawat Sihir dengan Sihir?



Setiap ujian yang Allah berikan, ada hikmah disebaliknya. Ujian itu adalah kaffarah untuk kesalahan yang kita telah lakukan. Dan ujian akan memantapkan keimanan kita sekiranya kita sabar dan redha.

Fitrah bagi manusia, apabila ditimpa ujian kesihatan, mereka akan berusaha mencari penawar untuk menyembuhkan penyakitnya. Kadangkala bagi sesetengah orang, apabila dalam keadaan kesempitan kerana mencari penawar, mereka tersasar. Mencari penawar tetapi rupanya mendapat penawar yang tidak baik. Ini sering terjadi dalam kes sihir. Mahu merawat sihir rupanya terperangkap dengan sihir juga.

Apakah itu sihir?

Sihir merupakan ilmu syaitan dan amalan mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan Mengikut ajaran- ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir…” (al-Baqarah, 102)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Hindarilah tujuh perkara yang membawa kepada kebinasaan. Para sahabat bertanya: Apakah perkara itu? Baginda menjawab; Mempersekutukan Allah, Sihir….” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Dalil di atas jelas menyatakan haram menggunakan sihir untuk tujuan apa pun, kerana sihir adalah kebatilan dan tidak akan membawa kepada kebaikan dan wujud dalam pelbagai jenis kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan.

Sehingga Imam Az-Zahabi mengulas dalam bukunya Al-Kabair bahawa ramai di kalangan manusia yang terlibat dengan amalan sihir tidak menyedari yang mereka melakukan dosa yang amat besar sehingga boleh menyebabkan diri mereka menjadi syirik dan kufur.

Berdasarkan yang dicatatkan di dalam Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah (24/260-261) lafaz atau perkataan yang berkaitan dengan sihir itu ialah:

1. Asy-Sya’wazah, yakni kecekapan tangan untuk bertindak bagaikan sihir, sehinggalah sesuatu itu dapat dilihat bukan lagi dalam bentuk asal.
2. An-Nusyrah, yakni sejenis jampi penawar orang yang dikatakan diganggu jin.
3. Al-Azimah, yakni tangkal yang digolongkan sebagai jampi.
4. Al-Riqiah, yakni jampi penawar.
5. At-Tallasam, yakni sesuatu yang digantungkan pada tubuh badan yang dianggap ada kaitannya dengan bintang-bintang.
6. Al-Aufaq, yakni angka atau huruf-huruf yang diletakkan pada sesuatu petak garisan tertentu.
7. At-Tanjim, yakni meramalkan sesuatu berdasarkan bintang-bintang.

Hukum an-Nusyrah

Ramai yang pernah mendengar tentang an-Nusyrah, tetapi ramai juga keliru. Apakah yang dimaksudkan dengan an-Nusyrah dan apa hukum beramal dengannya?

Persoalan itu timbul lantaran kalimah an-Nusyrah mempunyai beberapa maksud dan ia disesuaikan dengan nas yang dikeluarkan.

Para ulama telah berbeza pendapat tentang an-Nusyrah disebabkan ia membawa pelbagai maksud.

1) Cara merawat dan jampi bagi merawat pesakit yang mengalami gangguan makhlus halus

2) Kaedah merawat dengan menulis nama-nama Allah atau ayat-ayat al-Quran kemudian dilarutkan dengan air dan diberi minum kepada pesakit sebagai ubat

3) Mengubati sihir dengan perantaraan sihir juga

Harus

Bagi mereka yang memahami an-Nusyrah sebagai kaedah merawat dengan menulis nama-nama Allah atau ayat-ayat al-Quran kemudian dilarutkan dengan air dan diberi minum kepada pesakit sebagai ubat, mereka memegang hukum an-Nusyrah adalah harus

al-Qurtubi berkata:
“An-Nusyrah ialah menulis sesuatu daripada nama-nama Allah atau ayat al-Quran kemudian disapu pada orang pesakit atau diberi minum” (Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari dalam Mawsu’ah al-Hadith)

Qatadah berkata: “Aku berkata kepada Sa’id ibn al-Musayyab RA: “Seorang lelaki telah disihir atau terhalang daripada mendatangi isterinya, adakah hendak dileraikan sihir itu daripadanya atau dilakukan an-Nusyrah? Jawab sa’id: Tidak mengapa, sesungguhnya mereka mahukan kebaikan (dengan melakukan an-Nusyrah), makan apa sahaja yang bermanfaat tidak dilarang” (Sahih al-Bukhari)

Sayyidatina ‘Aisyah RA pernah membaca al-Muawwizatain pada air dan disuruh agar air itu dituangkan ke atas pesakit. al-Qurtubi juga berkata an-Nusyrah merupakan sejenis rawatan iaitu basuhan sesuatu yang mempunyai kelebihan. Contohnya air wuduk Rasulullah SAW.

Haram

Bagi yang memahami dengan maksud an-Nusyrah sebagai mengubati sihir dengan perantaraan sihir ia membawa hukum Haram.

Ini berdasarkan kepada hadith Jabir bin ‘Abdullah RA:

عن جابر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن النشرة ؟ فقال:" هي من عمل الشيطان ". رواه أحمد بسند جيد وأبو داود

Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya tentang an-Nusyrah lalu baginda bersabda: Ia merupakan sebahagian daripada perbuatan syaitan” (Hadith riwayat Ahmad, jil 3 ms, 294 dan Abu Daud: 3868. Hadis ini diklasifikan sebagai Sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abu Daud, no: 3868)

Para ulama menjelaskan bahawa an-Nusyrah yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah an-Nusyrah yang biasa difahami oleh orang arab sejak zaman jahiliah lagi iaitu rawatan kepada orang yang kena sihir dengan menggunakan sihir.

Pengambilan hukum haram daripada hadis itu adalah berdasarkan perkataan Nabi SAW mengkategorikan pengubatan sihir dengan sihir sebagai amalan syaitan. Setiap amalan syaitan adalah haram kerana syaitan sentiasa menyuruh kepada kejahatan, perbuatan keji dan memperkatakan sesuatu yang tidak benar terhadap Allah.

Berkata Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan Hafizahullah; "Adapun sesiapa yang menfatwakan harus merungkaikan sihir dengan sihir yang seumpamanya, maka dia telah tersilap dan salah dari banyak sudut;

1) Fatwanya itu menyalahi fatwa-fatwa yang soheh yang disokong oleh dalil-dalil syarak.

2) Fatwa yang mengharuskan itu akan merangsang dan membanyakkan lagi bilangan tukang sihir dengan alasan mahu menolong orang yang disihir.

3) Fatwa seperti ini akan membatalkan hukum syarak yang memerintahkan agar dibunuh tukang sihir seperti termaktub dalam hadis.

4) Sesungguhnya Allah telah menjadikan ubat bagi mereka yang terkena sihir dengan menggunakan an-Nusyrah as-Syar’iyyah.

5) Sesungguhnya tidak boleh berubat dengan benda-benda yang haram seperti sabda nabi yang bermaksud; "Berubatlah kamu semua, dan janganlah berubat dengan benda-benda yang haram". Ibnu Mas'ud berkata; "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu semua dengan sesuatu yang diharamkannya kepadamu, dan sihir merupakan kekufuran yang mengeluarkan seseorang dari agamanya. Dan sihir merupakan diantara dosa-dosa besar, bagaimana ianya harus digunakan untuk berubat?

sumber:
An-Nusyrah: Rawat Sihir dengan Sihir? An-Nusyrah: Rawat Sihir dengan Sihir? Reviewed by dsbbst on 03:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.