Buang Perangai Takut Hantu

Soalan:

Adakah hantu itu wujud? Benarkah dakwaan sesetengah orang bahawa hantu berasal daripada roh seseorang yang tidak tenteram maka ia akan bangkit dari kuburnya untuk mengganggu kehidupan manusia yang masih hidup.


Jawapan: 

Hantu dalam masyarakat Melayu seringkali digambarkan sebagai makhluk ghaib yang menjelma dengan rupa yang menakutkan. Sesetengah orang Melayu mengatakan bahawa hantu itu berasal daripada roh orang mati yang tidak tenteram disebabkan sesuatu hajat yang belum selesai seperti untuk membalas dendam ke atas orang yang masih hidup. Antara jenis hantu yang sering dikaitkan dengan orang yang meninggal dunia adalah hantu pontianak, hantu kubur, hantu pocong, hantu langsuir dan lain-lain. Ada sesetengah orang Melayu menggunakan istilah 'roh kembali' terhadap beberapa fenomena mistik yang berlaku dalam masyarakat sehingga ada sesetengah pembikin drama dan filem pula menjadikannya sebagai modal untuk menjual filem dan drama mereka.

Dalam Islam, hantu seperti mana yang dipercayai oleh masyarakat Melayu itu sama sekali tidak wujud. Sebaliknya, daripada perkhabaran al-Qur'an dan al-Sunnah didapati apa yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu itu tiada kena mengena langsung dengan roh orang mati sebaliknya ia adalah Iblis, jin dan syaitan. Malah, mempercayai kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam rukun Iman yang wajib diimani. Ini kerana kewujudan Iblis, jin dan syaitan disebut secara jelas di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah walaupun manusia tidak dapat melihatnya. Ini bermakna mempercayai kewujudan kedua-duanya termasuk dalam beriman kepada Allah, Kitab dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Zariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”.

Begitu juga firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 50 yang menjelaskan tentang asal usul syaitan dan Iblis: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu, amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu”.

Manakala firman Allah SWT dalam surah al-A‘raf ayat 27 pula menjelaskan tentang sifat jin dan syaitan itu yang ghaib dan tidak boleh dilihat oleh manusia. Firman Allah SWT: “Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman”.

Bagaimana Iblis, jin dan syaitan menyerupakan diri?

Walaupun, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan tidak boleh dilihat, tetapi dengan kelebihan tertentu, Iblis, jin dan syaitan boleh menyerupakan diri dengan rupa tertentu termasuk bagi tujuan menakut-nakutkan manusia

Al-Qadhi Abu Ya’la Muhammad bin al-Husain bin al-Farraa’ berkata: “Tidak ada kemampuan bagi syaitan untuk mengubah penciptaan mereka dan berubah bentuk. Namun Allah boleh sahaja mengajarkan kepada mereka beberapa kalimat dan perbuatan di mana jika ia mengucapkan kalimat tersebut atau melakukan perbuatan-perbuatan tersebut Allah SWT akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain. Dikatakan: Syaitan mampu untuk mengubah bentuk dan membuat khayalan dengan maksud bahawa ia mampu untuk satu perkataan yang jika ia mengatakannya atau melakukannya maka Allah akan mengubahnya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain sesuai dengan kebiasaan yang berlaku. Adapun jika ia mengubah dirinya sendiri, maka hal itu mustahil, kerana berubah dirinya daripada satu bentuk ke bentuk yang lain akan menguraikan struktur dan merombak bahagian-bahagiannya. Apabila hal itu terjadi, maka musnahlah kehidupan”. Aakaam al-Marjaan, hal. 19.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah: “Sesungguhnya hantu pernah mereka sebutkan di sisi Umar al-Khattab. Maka beliau berkata: Bahawasanya tidak ada yang mampu untuk merubah bentuk aslinya sebagaimana diciptakan Allah SWT mula-mula. Namun mereka mempunyai tukang sihir sebagaimana tukang sihir yang ada di antara kalian. Apabila kalian melihat hal itu, maka ucapkanlah azan pada mereka”. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata : “Isnadnya sahih”. Fath al-Bari (6/344).

Adakah hantu boleh memudaratkan manusia?

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah penyerupaan yang dilakukan oleh Iblis, jin dan syaitan. Sebagaimana Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hantu, maka baginda bersabda: “Mereka adalah tukang sihir daripada kalangan jin”. Sanad riwayat ini adalah sangat lemah (da’if jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Jabir: Bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan, dan hantu”.  Diriwayatkan oleh Muslim (14/217 dengan Syarh al-Nawawi).

Apabila Rasulullah SAW menafikan wabak penyakit, kesialan dan hantu, ia bukanlah bermakna Rasulullah SAW menafikan kewujudannya, tetapi Rasulullah SAW ingin menafikan anggapan atau kepercayaan yang meletakkan pemberi manfaat dan mudarat kepada selain Allah SWT. Ia seperti kepercayaan masyarakat Arab yang mengatakan bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di padang pasir. Ia sama dengan kepercayaan sesetengah masyarakat Melayu bahawa hantu mampu memudaratkan mereka.

Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Jumhur ulama berkata bahawa orang-orang Arab meyakini hantu berada di padang-padang pasir. Ia merupakan salah satu jenis syaitan yang menampakkan diri kepada manusia untuk menakut-nakutkan manusia dengan mewarnai diri mereka dengan aneka macam warna, sehingga mereka menyesatkan dan mencelakakan. Oleh kerana itu, Nabi SAW membatalkan anggapan atau kepercayaan mereka tersebut. Manakala yang lain pula berkata, maksud hadith tersebut bukan untuk menafikan kewujudan hantu, kerana makna membatalkan hanyalah pada anggapan atau keyakinan orang-orang Arab tentang berubahnya rupa hantu pada bentuk yang lain lalu membunuh mereka. Mereka berkata, sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hantu” (laa ghuula), iaitu tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadith yang lain: “Tidak ada hantu, namun ia adalah al-sa’aali (tukang-tukang sihir di kalangan jin)”. Para ulama berkata: al-Sa’aali adalah tukang sihir daripada kalangan jin, iaitu kalangan jin mempunyai tukang sihir yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan atau halusinasi”. Sahih Muslim (14/214) dengan Syarh al-Nawawi.

Ini menunjukkan Iblis, jin dan syaitan yang menjadi hantu itu tidak sekali-kali mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat adalah hak mutlak yang datang daripada Allah SWT. Kerana itulah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita al-mu’awwizat yang berupa ayat-ayat al-Qur’an seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu untuk memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

Perlukah takut kepada hantu?

Seperkara yang perlu diketahui, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT, pada hakikatnya Iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Kerana itu, adalah sesuatu yang menghairankan jika manusia pula yang takut kepada jin atas dasar takut kepada hantu.

Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya dari Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah makhluk seperti kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke balik dinding hingga aku mendengar bunyi jatuhnya. Ia tidak kembali lagi setelah kejadian itu”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Mujahid berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun takut kepada mereka”. Dan diriwayatkan juga dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan itu lebih takut daripada salah seorang di antara kalian. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga akan menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kalian kepadanya, nescaya ia akan pergi”. Aakam al-Marjan, hal. 137.

Al-Hafiz Abu Bakr Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman al-Baghandi berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Bakkar bin Abi Maimunah: Telah menceritakan kepada kami Ghiyath, dari Husain, dari Mujahid, beliau berkata: “Syaitan senantiasa menampakkan diri kepadaku saat aku berdiri melaksanakan salat dalam bentuk atau rupa Ibnu ‘Abbas. Lalu aku teringat perkataan Ibnu ‘Abbas sehingga selalu mempersiapkan pisau di sisiku. Satu saat, ia (syaitan) kembali menampakkan diri kepadaku, lalu aku serang dan aku tusuk ia sehingga mengenainya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi”. Aakaam al-Marjaan, hal. 166.

Menerusi riwayat-riwayat ini, dapat difahami bagaimana golongan salafussoleh tidak pernah menjadikan ‘hantu’ sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah Iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan taqwa yang menjadi pakaian mukmin.    

Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara ghaib. Oleh itu, percaya dengan kewujudan Iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan terhadap perkara yang ghaib. Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokoktambah perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Wallahu a’lam.  

(Artikel ini adalah hasil penulisan Ustaz Aizam Mas'ud dan telah diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, Telaga Biru)  
Buang Perangai Takut Hantu Buang Perangai Takut Hantu Reviewed by dsbbst on 19:08 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.