Hukum Kaedah Rawatan Jarak Jauh

RAWATAN JARAK JAUH

Kaedah rawatan jarak jauh adalah merujuk kepada kaedah rawatan yang dilakukan untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kehadiran pesakit atau merawat rumah dan bangunan tanpa kehadiran perawat ke tempat tersebut. Rawatan jarak jauh ini boleh berlaku dalam banyak keadaan, tetapi pada kebiasaannya rawatan dijalankan tanpa perawat melihat pesakit atau pergi ke sesuatu tempat.

Antara pendekatan dalam rawatan jarak jauh adalah rawatan yang dijalankan melalui penggunaan alatan perhubungan seperti telefon, internet dan lain-lain. Hal ini bermakna, rawatan yang dilakukan oleh perawat adalah melalui percakapan dalam telefon di mana perawat dan pesakit tidak bersemuka, tetapi mereka berkomunikasi ketika itu antara satu sama lain walaupun jarak antara mereka beribu batu. Dalam keadaan lain, perawat juga merawat pesakit dengan menggunakan gambar pesakit yang dibawa oleh keluarga pesakit. Hal ini disebabkan oleh keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan. Ini bermakna, perawat akan membacakan ruqyah ke atas pesakit yang berada di dalam gambar tersebut. 

Bagi merawat rumah yang diganggu oleh makhluk halus atau membantu memagar kawasan rumah, kaedah ini juga dilakukan di mana tuan rumah hanya perlu menyatakan alamat dan memberi sedikit gambaran rumah bagi proses pemagaran dan perlindungan rumah yang dilakukan oleh perawat tanpa kehadiran perawat ke kediaman berkenaan.

Doa 

Manakala dalam rawatan menggunakan alat perhubungan seperti telefon berlaku komunikasi antara pesakit dan perawat Cuma tidak bersemuka. Rawatan dilakukan dengan perawat meminta agar pesakit menyediakan bahan rawatan seperti air mineral dan lain-lain lalu melalui alat tersebut perawat membacakan ruqyah dan diperdengarkan juga ke atas bahan rawatan tadi. Dalam keadaan tertentu, jika terdapat tindak balas daripada pesakit seperti mengerang kesakitan atau kepanasan, dapat menunjukkan bahawa kaedah tersebut memberi kesan dalam rawatan yang dijalankan. Kemudian, dalam rawatan terhadap kediaman atau bangunan atau premis tertentu, berdasarkan pemerhatian pengkaji, terdapat perawat yang meminta agar pesakit melakarkan pelan rumahnya atau premisnya dan perawat akan membantu mengesan kehadiran makhluk halus dalam premis atau kediaman tersebut. 

Selepas itu, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah tertentu dan melakukan isyarat memagar kawasan sekeliling rumah atau kediaman tersebut dan pada masa yang sama menghalau keluar makhluk halus yang mendiami kawasan itu. Selain itu, terdapat juga rawatan jarak jauh yang dilakukan dengan keadaan rawatan secara ghaib iaitu perawat atau pengamal perubatan tersebut menyarankan pesakit agar melaksanakan segala arahan yang perlu dilakukan. Lalu pada sebelah malam nanti akan datang perawat (dalam keadaan ghaib atau tidak diketahui oleh perawat) untuk membantu pesakit tersebut menyembuhkan
penyakitnya. Selalunya amalan ini dilakukan oleh para bomoh.

DALIL TERHADAP KEHARUSAN MENGGUNAKAN KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Berhubung dengan pengamalan kaedah rawatan jarak jauh ini, adakah ia dibenarkan atau ia menyalahi tuntutan syarak? Dalam menjawab persoalan ini, Dr. Haron Din mengatakan bahawa kaedah rawatan jarak jauh adalah salah satu daripada kaedah yang baik dalam rawatan penyakit. Kaedah ini dipetik dan difahami daripada sebuah hadith Nabi SAW yang menyarankan agar seseorang itu mendoakan sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya itu. Ia juga termasuk dalam konteks doa yang mendapat perkenan Allah
SWT kemakbulannya.

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau segala kebaikan yang engkau doakan untuknya.” Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Dhikr wa al-Du‘a’ wa al-Tawbah wa al-Istighfar

Maksudnya: “Apabila seseorang lelaki mendoakan (kebaikan) bagi saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh suadaranya itu), maka Malaikat akan mengucapkan amin dan mendoakan ke atas dirinya doa seperti itu.” Hadith riwayat Abu Dawud, Kitab al-Witr

Maksudnya: “Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dengan dirinya.” Hadith riwayat al-Tirmidhi, Kitab al-Birr wa al-Silah 

Apa yang dinyatakan oleh Dr. Haron Din adalah merujuk kepada kaedah rawatan jarak jauh yang menekankan kepada penggunaan ruqyah-ruqyah al-shar‘iyyah yang bukan menggunakan jampi serapah dan bukan mendakwa bahawa akan datang suatu makhluk pada malam hari untuk membantu merawatnya. Rawatan tersebut masih dalam bentuk rawatan yang mematuhi tuntutan syariat Islam.

Dalam ‘Awn al-Ma‘bud yang memetik pendapat al-Tibbi berkata bahawa sebahagian daripada golongan salaf apabila mahu mendoakan sesuatu ke atas dirinya, maka didoakan ke atas saudaranya dengan doa tersebut agar dapat didoakan oleh malaikat seperti doa tersebut. Bahkan doa tersebut lebih mudah dimakbulkan Allah SWT. Hal yang sama juga disebutkan oleh al-Nawawi dalam al-Minhaj

Al-Nawawi dalam al-Minhaj berkata bahawa maksud berdoa dibelakangnya adalah merujuk kepada berdoa secara rahsia tanpa diketahui bahawa seseorang itu telah didoakan oleh sahabatnya. Tambahan lagi, ia lebih mengundang rasa keikhlasan dalam berdoa berbanding berdoa dihadapannya. Manakala al-Qadi berkata bahawa pada hadis ini menunjukkan kelebihan berdoa secara rahsia ke atas saudara Muslim yang lain sekalipun doa itu ditujukan ke atas satu kumpulan orang Islam maka ia termasuk dalam erti kata berdoa sedemikian.

Oleh yang demikian daripada hadis dapat dikaitkan bahawa seseorang perawat yang membantu saudaranya Muslim yang sakit dengan memanjatkan doa atau melalui perlaksanaan ibadah seperti solat hajat dan sebagainya, maka ia termasuk dalam erti kata membantu merawat pesakit itu secara jarak jauh tanpa diketahui oleh pesakit. Maka dengan izin dan perkenan Allah SWT, pasti akan disembuhkan oleh Allah SWT.

PENJELASAN HUKUM TERHADAP KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Berhubung dengan kaedah rawatan jarak jauh, didapati bahawa kaedah ini juga berkesan dalam merawat pesakit khususnya dalam membantu pesakit yang enggan mendapatkan rawatan, menghadapi keuzuran atau jarak rumahnya yang jauh. Ini kerana pendekatan ini masih menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah, cuma ia dilakukan tanpa kehadiran pesakit sahaja. Dalam keadaan yang lain, ahli keluarga membawa gambar pesakit lalu bertemu dengan perawat untuk mendapatkan rawatan di samping menyatakan nama pesakit dan masalah yang dihadapi. Berkaitan dengan penggunaan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit, pengkaji dapat membahagikan kepada dua pandangan yang utama dari sudut keharusan dan pengharaman penggunaan kaedah ini.

Pertama: Diharuskan untuk menggunakan kaedah jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit atau mangsa untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi. 

Selain itu, diharuskan juga menggunakan kaedah ini dalam situasi ia dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan saling mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon rumah atau bimbit. Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar. Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi. 

Dalam situasi yang lain pula, juga termasuk dalam rawatan jarak jauh adalah melalui amalan solat hajat dan mendoakan kesembuhan bagi pesakit. Melalui amalan ini, ia adalah diharuskan, bahkan Nabi SAW sangat menggalakkan seseorang Muslim itu mendoakan kesejahteraan bagi Muslim yang lain dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan tersebut tidak diketahui oleh sahabat yang didoakan tersebut melainkan Allah SWT sahaja.

Kedua: Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh sekiranya tidak melibatkan sebarang perhubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus. Contohnya perawat menyatakan bahawa beliau akan menjalankan rawatan (iaitu selepas mendapatkan maklumat dan persetujuan dari pesakit atau ahli keluarga) apabila tibanya waktu malam, pesakit akan didatangi seseorang yang tidak dikenali ketika tidur (dalam keadaan tidak sedar) untuk merawat pesakit tersebut. 

Pesakit juga disyaratkan untuk meletakkan bahan-bahan tertentu yang diberikan oleh perawat di bawah bantal tidurnya dengan tujuan rawatan sedemikian. Cara rawatan sedemikian jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, ia menyerupai amalan perbomohan yang mendakwa bahawa akan ada makhluk yang akan membantu merawat pesakit tersebut ketika tidur seperti akan didatangi oleh makhluk berjubah putih dan berserban atau mendakwa bahawa akan didatangi oleh seorang syeikh yang datang merawat pesakit itu dan pelbagai keadaan lagi. Secara umumnya cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal. Dalam sesetengah keadaan, perawat itu berusaha untuk menunjukkan kelebihan dan kemampuannya dalam rawatan sehingga dirinya dipandang sebagai seorang yang hebat dan dipercayai.

PANDANGAN KESELURUHAN TERHADAP KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Daripada perbincangan di atas, pengkaji lebih cenderung untuk menyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya tidak menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit
di atas beberapa alasan, iaitu:

Pertama: Mengelak daripada timbulnya itnah dan dakwaan sumbang terhadap rawatan Islam. Hal ini kerana, apabila disebutkan rawatan atau pengubatan Islam, bermakna pendekatan dan kaedah rawatan yang menepati lunas-lunas syariah serta bertepatan dengan amalan Nabi SAW, para sahabat serta para ulama salaf. Nabi SAW sendiri tidak pernah membantu para sahabat berbuat demikian melainkan Baginda secara langsung merawat sahabat yang sakit atau Baginda memberi nasihat dengan menyatakan cara dan siapa yang patut dirujuk untuk merawat penyakit sedemikian.

Kedua: Dari sudut keberkesanan dalam memohon kesembuhan daripada Allah SWT, sepatutnya adalah melalui pertemuan secara langsung antara pesakit dan perawat. Ini bermakna, adalah lebih baik berlaku pertemuan secara langsung dan bersemuka bagi memastikan tidak berlaku salah faham dalam pendekatan rawatan yang dilakukan. Walaupun demikian, tidak dinaikan bahawa kesembuhan itu milik Allah SWT dan bagaimana serta cara untuk berikhtiar mencari penawar itu adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri tetapi masih perlu berpandukan syariat.

Ketiga: Sekiranya menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dengan perawat mendakwa bahawa ada seseorang yang akan datang menjalankan rawatan ketika pesakit sedang tidur, maka pendekatan sedemikian adalah menyerupai amalan perbomohan dan ia adalah diharamkan. Ini bermakna perawat tersebut telah menggunakan pertolongan jin atau makhluk halus dalam rawatan yang dijalankan. Allah SWT telah jelas menyatakan bahawa memohon pertolongan jin atau makhluk halus itu tidak lain melainkan menambahkan lagi kesesatan dan jauh dari pertolongan Allah. Firman Allah SWT dalam ayat 6 surah al-Jin, maksudnya: 

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Keempat: Pertemuan antara pesakit dengan perawat mewujudkan hubungan antara dua insan iaitu hubungan antara pesakit yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan perawat yang berusaha untuk menghulurkan bantuan dan sama-sama memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Pada masa yang sama menghubungkan silaturrahim antara meraka. Hal ini bertepatan dengan penjelasan al-Quran yang menyebutkan bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara dan mereka saling tolong menolong pada kebaikan.

Walaupun demikian, pengkaji melihat bahawa tidak salah untuk menggunakan rawatan jarak jauh yang dilaksanakan melalui beberapa pendekatan berikut:

Pertama: Pengkaji sangat bersetuju jika perawat mengambil pendekatan dengan melakukan solat hajat bersama dengan ahli keluarga pesakit, mendoakan pesakit dari jarak jauh tanpa pengetahuan pesakit atau meminta ahli keluarga sama-sama mendoakan pesakit tanpa pengetahuan pesakit agar pesakit itu disembuhkan oleh Allah. Pendekatan ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW dan ia mudah untuk mendapat kemakbulan doa tersebut daripada Allah SWT seperti mana disebutkan dalam hadis sebelum ini.

Kedua: Perawat sentiasa memastikan bahawa kaedah rawatan tersebut tidak menyalahi syariat Islam, tiada unsur keraguan hukum, tidak berunsurkan mistik atau menunjukkan sesuatu keajaiban, dan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah serta tidak menggunakan bahan-bahan rawatan yang diharamkan atau berunsurkan najis.

Ketiga: Rawatan yang dijalankan berlaku secara sedar dan berlaku komunikasi dua hala antara perawat dan pesakit jika menggunakan alatan perhubungan seperti telefon atau menggunakan internet. Kemudian, perawat melakukan rawatan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah yang dibenarkan bukan menggunakan jampi atau mantera yang dilarang. Sebolehnya perawat mendapatkan bantuan ahli keluarga pesakit untuk membantu ketika proses rawatan tersebut.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbincangan yang telah dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa kaedah rawatan jarak jauh dari sudut hukumnya adalah berbeza mengikut situasi dan pendekatan perawat ketika rawatan itu dijalankan. Sekiranya perawat menggunakan pendekatan solat hajat, berdoa, menggunakan gambar pesakit atau melalui nama pesakit maka ianya dibenarkan selagi mana syariat Islam dijadikan sebagai landasan utama. Sebaliknya, sekiranya rawatan jarak jauh tersebut melibatkan unsur-unsur mistik atau boleh menimbulkan keraguan atau perawat melakukan perkaraperkara yang dilihat luar biasa maka rawatan seumpama ini sewajarnya dihindari. Ini adalah kerana amat ditakuti seandainya perawat tersebut mendapatkan pertolongan jin atau makhluk halus dalam rawatan yang dijalankan. 

Justeru, rawatan sedemikian sebaiknya dihindari oleh umat Islam kerana menggunakan khidmat dan bantuan jin dalam rawatan bukanlah sebahagian daripada rawatan Islam seperti mana yang dapat difahami daripada irman Allah di dalam ayat 6 surah al-Jin. Oleh yang demikian, kepada semua para pesakit yang sedang berusaha mencari kesembuhan, perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah memastikan bahawa kaedah rawatan yang dijalankan oleh pusat rawatan Islam yang dikunjungi adalah tidak meragukan dan mengikut lunaslunas syariat Islam. Demikian juga bagi para perawat, mereka sewajarnya tidak memandang enteng dalam isu yang dibincangkan ini dan perlu komited dalam menyediakan khidmat rawatan Islam yang sejajar dengan syariat Islam.

Sumber:
JURNAL: PENGGUNAAN KAEDAH “RAWATAN JARAK JAUH” DALAM RAWATAN PENYAKIT DI PUSAT RAWATAN ISLAM DI MALAYSIA: SATU ANALISIS HUKUM
oleh: Khadher Ahmad dan Rushdi Ramli

Hukum Kaedah Rawatan Jarak Jauh Hukum Kaedah Rawatan Jarak Jauh Reviewed by dsbbst on 22:13 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.