Etika Pengubatan Islam

PENDAHULUAN


1. Garis panduan ini memaparkan sifat dan etika yang perlu ada pada seseorang perawat yang mengamalkan ilmu pengubatan Islam. Sifat dan etika ini sangat penting bagi membezakan antara perawat yang merawat pesakit berlandaskan syariat Islam dengan yang sebaliknya. Seseorang pengamal pengubatan Islam hendaklah mempunyai sifat dan etika tertentu dalam rawatan mereka kerana kemakbulan doa mereka ketika merawat banyak bergantung kepada diri perawat itu sendiri selain daripada usaha pesakit.


2. Ulama sepakat berpendapat bahawa mempelajari ilmu pengubatan Islam itu hukumnya adalah fardhu kifayah. Manakala merawat pesakit adalah merupakan satu tugas yang sangat mulia.


3. Hukum berubat pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wajib dan harus. Bagi orang awam hukumnya harus ketika dia masih dapat menanggung kesakitannya dan boleh bersabar dengan penyakit itu. Pada keadaan lain, hukumnya menjadi wajib sekiranya dia sudah tidak dapat menanggung lagi kesakitannya.


4. Bagi golongan tertentu seperti para nabi dan wali di mana maqam mereka begitu tinggi dalam menghadapi ujian daripada Allah s.w.t maka hukumnya adalah harus berubat. Bagi golongan ini penyakit adalah ujian daripada Allah s.w.t.




SIFAT DAN ILTIZAM AHLI & PERAWAT PENGUBATAN ISLAM


1- Ahli & Perawat Pengubatan Islam (APPI) mestilah seorang muslim yang seboleh-bolehnya sentiasa berusaha untuk mengamalkan semua ajaran Islam serta meninggalkan semua yang dilarang oleh agama;


2- Sentiasa membersihkan niat di dalam hati, tujuan mempelajari dan mengamalkan ilmu pengubatan Islam adalah semata-mata bagi mencari keredhaan Allah s.w.t serta memartabatkan ilmu pengubatan Islam sebagai satu usaha dakwah;


3- Menanamkan tekad yang jitu serta azam yang kuat untuk mengamalkan ilmu pengubatan Islam demi membantu masyarakat serta bagi melaksanakan amanah ilmu tersebut;


4- Sentiasa mempertingkatkan keyakinan kepada Allah s.w.t bahawa kesembuhan setiap penyakit adalah milik mutlak Allah s.w.t dan tugas perawat pengubatan Islam hanya sebagai ikhtiar semata-mata;


5- Sentiasa berusaha meningkatkan ilmu terutama berkaitan agama kerana setiap ahli & perawat pengubatan Islam merupakan individu yang menjadi perhatian dan contoh serta dihormati dalam masyarakat;


6- Sentiasa memelihara setiap amalan wajib serta berusaha untuk mempertingkatkan amalan sunat untuk memantapkan kerohanian sebagai senjata dan pertahanan diri serta keluarga;


7- Sentiasa berusaha mengawasi diri sendiri, pasangan serta ahli keluarga masing-masing agar mematuhi setiap syariat supaya mengelakkan fitnah dan tohmahan dalam masyarakat;


8- Hendaklah menjauhi sifat menunjuk-nunjuk dan mengejar ganjaran kebendaan (upah) dalam rawatannya dan tidak boleh berputus asa dalam rawatannya;


9- Hendaklah mempunyai asas dalam ilmu biologi dan psikologi kerana tidak semua gangguan berpunca daripada makhluk halus; dan


10- Hendaklah yakin dengan doa yang dibacanya.




ETIKA AHLI & PERAWAT PENGUBATAN ISLAM


Peraturan Membuka Pusat Rawatan
1) Setiap APPI yang ingin membuka pusat rawatan secara persendirian, hendaklah memaklumkan serta mendapat kelulusan secara bertulis daripada Perubatan Tradisional dan Komplementri (PT&K), Kementerian Kesihatan Malaysia;


2) Memastikan tenaga perawat yang berkebolehan dan mencukupi untuk melaksanakan tugas-tugas rawatan;


3) Perawat mestilah yang telah diijazah (diperakui) oleh persatuan masing-masing atau yang diiktiraf oleh PT&K;


4) Menentukan tempat yang sesuai dan berkekalan dengan kemudahan yang selesa untuk pesakit dan perawat; dan


5) Menyediakan jadual rawatan dan perawat di pusat rawatan.


Kad Keahlian / Pengenalan Perawat
1) Sentiasa mempamerkan kad keahlian atau pengenalan perawat yang dibekalkan oleh PT&K semasa merawat di pusat rawatan atau di mana-mana tempat; dan


2) Boleh mengemukakan bukti keahlian atau pengenalan perawat yang berdaftar dengan PT&K ketika diperlukan.


Penampilan Diri
1) Penampilan berkaitan wajah hendaklah sentiasa kemas, bersih dan sentiasa terurus;


2) Penampilan berkaitan pakaian hendaklah sentiasa dalam menutup aurat, bersih dan bersesuaian;


3) Kuku perlulah pendek agar tidak menyebabkan apa-apa kecederaan semasa merawat;


4) Seboleh-bolehnya sentiasa memilih pakaian yang bewarna putih terutama kopiah;


5) Memelihara dan menjaga penampilan berkaitan emosi, bau mulut dan bau badan; dan


6) Mengamalkan akhlak yang terpuji, bersopan santun dan berhemah sama ada semasa atau diluar waktu rawatan.


Adab (tentang rawatan)
1) Perawat hendaklah mengetahui jenis ubat, doa, bahan dan kaedah rawatan yang bersesuaian dengan sesuatu penyakit;


2) Perawat hendaklah merawat pesakit dengan ikhlas, penuh kesungguhan dan bukan sambil lewa serta merawat dengan simpati bukan dengan benci;


3) Perawat hendaklah menangguhkan rawatan jika dia berada dalam keadaan tidak selesa, tidak tenang dan tidak yakin dengan keupayaan diri. Begitu juga dalam keadaan badan tidak cergas atau sakit atau ketika menghadapi masalah berat, baru terjaga dari tidur, dalam keadaan berhadas besar dan sebagainya;



4) Perawat hendaklah mengikis perasaan mudah sembuh ketika merawat biarpun pada lumrahnya kes-kes penyakit tertentu berjaya ditanganinya sebelum ini. Serahkan urusan kesembuhan kepada Allah. Elakkan daripada melakukan rawatan yang hendak kesembuhan segera di hadapan mata dalam masa yang singkat;


5) Perawat hendaklah jangan mempercayai perkataan yang disampaikan oleh makhluk halus pada badan pesakit seperti sipolan bin sipolan yang menyihir dan dengki kepada pesakit tersebut. Perawat juga hendaklah menasihati pesakit agar jangan terpedaya dengan perkataan makhluk halus itu yang memang bertujuan memporak-porandakan hubungan sesama umat Islam;


6) Perawat hendaklah mengawal emosi marahnya ketika berhadapan dengan karenah pesakit atau ejekan daripada makhluk halus dalam badan pesakit;


7) Sekiranya mendapat tahu bahawa pesakit ada mengamalkan ilmu yang salah, minta pesakit supaya meninggalkan ilmu tersebut, menanggalkan azimat yang dipakainya dan sebagainya sebelum sesi rawatan dimulakan dengan cara yang berhemah;


8) Perawat hendaklah prihatin dengan keadaan pesakit dan cuba sedaya upaya permudahkan urusan pesakit seperti pesakit daripada kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU), bayi dan sebagainya; dan


9) Pesakit wanita sebaiknya hendaklah dirawat oleh perawat wanita dan pesakit lelaki sebaiknya dirawat oleh perawat lelaki juga bagi mengelakkan timbulnya fitnah.


Larangan (umum)
1- Menggunakan perkataan yang kasar, lucah dan menggoda;


2- Bacaan dengan suara yang terlampau kuat atau tidak kedengaran langsung yang boleh mendatangkan fitnah;


3- Memilih untuk merawat pesakit-pesakit atau penyakit yang tertentu;


4- Mengamalkan pilih kasih dalam sebarang urusan;


5- Memberikan tawaran rawatan secara peribadi atau eksklusif;


6- Menghina pesakit, keluarganya, keturunannya atau agamanya;


7- Memburuk atau meremehkan perawat atau APPI yang lain;


8- Menghina atau memburukkan pertubuhan serta pusat pengubatan Islam yang lain;


9-  Menyatakan dengan jelas atau meneka sesuatu penyakit atau pesakit berkaitan dengan sesuatu punca seperti sihir, santau, badi, saka dan sebagainya;


10- Mendakwa mampu melihat alam ghaib seperti mengetahui bilangan jin dan sebagainya;


11- Penerangan tentang cara rawatan dan penggunaan bahan tidak jelas, panjang berjela dan sukar difahami;


12- Masalah dan penyakit para pesakit adalah kerahsiaan. Perawat dilarang menceritakannya kepada sesiapapun kecuali pengajaran secara umum sahaja;


13- Berinteraksi dengan pesakit menggunakan bahasa yang diistilahkan sebagai ‘membebel’, ‘berleter’ atau berceramah; dan


14- Melarang pesakit dari mendapat rawatan secara moden atau menemui pengamal perubatan alorpathy.


Larangan (berkenaan tempat dan masa rawatan)
1) Merawat di tempat awam yang terbuka;


2) Merawat seorang pesakit secara bersendirian dalam bilik atau di tempat yang sunyi
serta tertutup;


3) Merawat pesakit (lelaki atau wanita) tanpa ditemani mahram atau rakan;


4) Membantu merawat mana-mana premis tanpa mendapat permohonan rasmi secara
bertulis atau tanpa pengetahuan pihak yang berautoriti di tempat berkenaan;


5) Gagal menjaga kebersihan dan kekemasan tempat rawa6tan yang digunakan;


6) Gagal mematuhi masa rawatan yang telah ditetapkan di setiap pusat rawatan;


7) Gagal hadir memberikan khidmat rawatan tanpa alasan selepas mendaftar sebagai tenaga perawat; dan


8) Menggunakan masa rawatan yang terlalu lama (menurut kadar yang munasabah).


Larangan (berkenaan bahan rawatan)
1. Penggunaan bahan-bahan yang diharamkan dalam Islam;


2. Penggunaan bahan-bahan najis atau jijik mengikut ’Uruf; dan


3. Penggunaan alat-alat yang merbahaya kepada pesakit seperti besi, pisau, kayu, keris dan sebagainya.


Larangan (berkenaan kaedah rawatan)
1- Kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak;


2- Menyentuh anggota badan penyakit yang sensitif atau sulit;


3- Mendatangkan kecederaan fizikal pesakit seperti dengan menumbuk, menampar, menendang dan sebagainya;


4- Mendera pesakit secara emosi dengan memanggil nama mereka dengan nada suara yang menghina, tidak mengikut nombor giliran rawatan dan sebagainya;


5- Menggunakan kaedah mengimbas pesakit atau disebut dengan istilah ’scan’; dan


6- Menyusahkan fikiran dan emosi pesakit dengan mengatakan bahawa penyakitnya itu sudah tidak boleh diubati lagi dan harapannya untuk sembuh adalah terlalu tipis seperti memberitahu pesakit bahawa dia hanya boleh hidup dalam tempoh tertentu yang
amat singkat.


Larangan (berkenaan upah dan bayaran)
1) Menetapkan jumlah bayaran atau upah sebelum, semasa dan selepas memberikan rawatan; dan


2) Menentukan hadiah atau sumbangan yang perlu diberi ketika ’putus ubat’.
Etika Pengubatan Islam Etika Pengubatan Islam Reviewed by dsbbst on 21:52 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.