Jampi Yang Terlarang



Dengan hormat sukacita dipohonkan fatwa berhubung dengan jampi yang digunakan oleh seorang bomoh untuk mengubati pesakit, bagi kegunaan dan rujukan di Bahagian Kawalan Akidah, Jabatan Hal Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.


Jawapan: 

الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله محمد صلى الله عليه وسلم وعلى اله واصحابه والسالكين سبيله ، والداعين بدعوته الى يوم الدين وبعد 


Apa itu jampi ? menurut kamus , jampi ialah “kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesakitan seperti boleh menyembuhkan penyakit dan lain-lain.” Jampi di ertikan juga dengan mentera.

Jampi itu disebut dalam bahasa Arab sebagai ruqyah ( رقية )

Pendapat yang mengatakan bahawa jampi itu tidak ada dalam syara’ atau Nabi Shallallahu alaihi wasallam tidak pernah menjampi adalah dakwaan yang tidak betul , kerana terdapat hadis-hadis yang merujuk bahawa Nabi Shallallahu alaihi wassalam pernah dijampi dan menjampi. Antaranya ialah :

Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata: “apabila rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengadu sakit, maka Jibril Alaihisalam akan menjampi Baginda dengan doa. Di antaranya ialah seperti hadis berikut: 

عن عائشة زوج النبي صلى الله عليه وسلم أنها قالت : كان إذَا اشتكى رَسول الله صلى الله عليه وَسلام رقاه جبْرِيل. قال : باسم الله يبريك ، وَمن كُل داءٍ يَشْفِيْكَ ، وَمن شر حَاسِد إذا حسد وَشر كُل ذِى عَينٍ 

( رواه مسلم ) 

Maksudnya: “Daripada Aisyah – isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau berkata: “Biasanya apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam mengadu (kesakita) maka Jibril akan menjampinya dengan ucapan: (Dengan nama Allah, Dia menyelamatkanmu; dan daripada segala penyakit kejahatan pendengki ketika dia mendengki dan daripada kejahatan setiap yang punya mata).”

(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini dan juga lain-lain hadis seumpamanya, maka ada ulama yang menamakan satu bab khas dalam kitab mereka dengan nama “Bab Berubat dan Menjampi.”

Jika ia diboleh, apakah syarat-syaratnya?

Al-Imam Fakhuddin Ar-Razi telah membahasakan persoalan ini ketika menberi ulasan dan tafsiran mengenai aayt-ayat yang terdapat dalam 2 surah Al-Mu’awwidzatain (surah Al- Falaq dan An-Nas). Di samping membentangkan hujah golongan yang mengatakan “boleh menggunakan jampi” beliau juga mengemukakan dalil-dalil daripada kumpulan yang berpendapat sebaliknya. Kemudian Ar-Razi menjawab pendapat yang membantah itu.

Inilah pendapat Ar-Razi, katanya: “bahawa golongan yang mengharuskan jampi itu menggunakan 8 alasan: 

1. Berdasarkan apa yang telah diriwayatkan, bahawa Rasulluah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengadu kesakitan (kepada Jibril). Maka Jibril ‘Alaihissalam pun menjampi Baginda dengan dengan berkata:

بسم الله أرقِيك ، مِنْ كل شَيءٍ يؤذيك ، مِنْ كّل عَيْنٍ وحاسد يشفيك ، أو قَاَل : الله يُشفِيكَ 

(رواه احمد)

Maksudnya: “ Dengan nama Allah aku menjampimu daripada segala sesuatu yang menyakitkanmu. Dia ( Allah) menyembuhkan daripada segala kejahatan mata atau hasad dengki.” Atau katanya : “ Allah menyembuhkan engkau!”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

2. Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam telah mengajarkan kepada kami bagaimana hendak mengelakkan diri daripada semua jenis sakit dan demam dengan doa ini”:

بسم الله الكبير ، أعوذُ با لله العَظِيم من شَرّ عِرْقٍ نعّاِر ، وَمِن شَرّ حر النّارِ

(رواه الإمام أحمد ) 

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang mulia, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Agung daripaada kejahatan peluh yang mendidihkan darah yang keluar dari uratnya, dan daripada kejahatan panas api neraka.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

3. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud: 

“Barangsiapa yang melawat orang sakit, yang menurut pandanganmu bahawa kematian orang itu masih jauh maka bacalah doa ini sebanyak 7 kali, nescaya dia akan sembuh :


أسالُ الله العظيم رَبّ العَرشِ العظيم أَنْ يَشْفِيكَ

(رواه ابو داود والحاكم والترمذي والنسائى عن ابن عباس)

Maksdunya: “Aku mohon kepada Allah Yang Maha Agung, tuhan ynag menguasai Arasy yang Agung agar Allah menyembuhkan kamu.”

(Hadis riwayat Abu Daud, Al-Hakim, Tirmidzi dan Nasa’I, daripada Ibnu Abbas)

4. Dalam sebuah hadis daripada sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha menceritakan bahawa apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam menziarahi orang sakit, maka Baginda (menjampi) dengan membaca doa ini :

أذهب الباس رب الناس ، اشفِ وانْتَ الشافِي ، لاَ شِفَاء الّا شِفَاؤُكَ ، شِفَاءً لَا سَقَمًا

(رواه البخاري )

Maksudnya: “Hilangkanlah segala kesusahan wahai Tuhan yang menjaga manusia. Sembuhkanlah (dia ). Engkaulah Penyembuh, tiada penyembuh selain penawarMu. Penawar yang tidak meninggalakn (sakit-baki) penyakit.”

(Hadis riwayat Bukhari) 

5. Berdasarkan hadis riwayat daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘ anhu berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam itu sentiasa memperlindungkan cucu Baginda, Hassan dan Hussain dengan membaca doa ini :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ الله التّامَةِ ، ِمن كُلّ شَيْطَانِ وَهامّةِ ، وَمِن كُلّ عَيْنٍ لَامّةٍ

(رواه البخاري)

Maksudnya: “Aku perlindungkan kamu berdua dengan semua kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan tiap-tiap syaitan dan binatanag yang melata dan daripada pandangan yang bermaksud jahat ( penyakit ‘ain).”

(Hadis riwayat Bukhari) 

Doa yang sama juga telah dibacakan oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihi wasallam untuk melindungi kedua anak baginda Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

6. Utsman bin Abu Al- ‘Ash As-Saqqafi berkata : “Saya telah pergi bertemu rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam, sedang pada masa itu saya mengalami suatu penyakit yang agak berat, maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : “usapkan tangan kananmu pada tempat yang sakit itu dan jampilah dengan doa ini sebanyak 7 kali.


أعوذُ بِعزّةِ اللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرّ مَا اَجِدُ

(رواه النسائى) 

Maksudnya: “Dengan nama Allah , aku berlindung dengan kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kecelakaan yang aku alami.”

(Hadis riwayat Nasa’i)
Maka aku pun melakukan seperti yang di ajarkan oleh rasulullah itu, lalu Allah Ta’ala menyembuhkan aku.”

7. Diriwayatkan dalam Shahih Ibnu Huzaimah, sunan An-Nasa’I dan Sunan Abu Daud bahawa apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam musafir, ketika bertemu dengan malam, baginda menjampi dengan berkata:

يَا أَرض رَبّى وَرَبّكِ الله ، أعوذ بِا لله مِنْ شَركَ وَشَرّ مَا فِيْكَ وَشَرّمَا خُلِقَ فِيْكَ وَشَرّ مَا دَبّ عَلَيكَ أَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شَرّ كُلّ أَسَدٍ وَأسوَدٍ وَحَيّةٍ وَعَقرَبٍ مِن سَاكِنِي البلدِ وَمِنْ شَرّ وَاِلدٍ وما ولد 

Maksudnya: “ Wahai bumi, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah, aku berlindung kepada Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang ada padamu, kejahatan yang dijadikan padamu, serta kejahatan apa yang melata diatasmu, aku berlindung dengan Allah daripada kejahatan-kejahatan singa, ular, kala jengking, dan daripada kejahatan penghuni negeri serta apa-apa juga kejahatan iblis dan syaitan.” 

8. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah Radhiallahu ‘anhu menyebutkan bahawa: apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam duduk di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda menadah tangan dengan menghimpunkan kedua tangannya dan meludah padanya serta membaca : 

قل هو الله أحد ,
قل أعوذ برب الفلق ،
قل أعوذ برب الناس.

Kemudian Baginda menyapu kedua tanagn Baginda keseluruh badannya denagn memulai dari kepala dan muka baginda. Baginda melakukan sebanyak 3 kali.

Pengarang kitab At-Tadawi bi Al-Qur’an berkata :

“Para ulama telah sepakat mengatakan tentang harusnya melakukan jampi apabila berhimpunnya tiga syarat berikut ini :

i. Kalimat-kalimat jampi itu mestilah terdiri daripada perkataan-perkataan Allah ta’ala, nama-namaNya ataupun sifat-sifatNya.
ii. Sebaik-baiknya ialah dalam bahasa Arab, ataupun sebarang bahasa yang boleh difahami maksudnya.
iii. Hendaklah diingat dan disedari dari segi aqidah bahawa jampi itu tidak member apa-apa kesan. Kesan yang berlaku itu adalah daripada ketentuan dan takdir Allah Ta’ala jua.

Perubatan dengan menggunakan jampi-jampi adalah diharuskan selama mana ia tidak bertentangan dengan kehendak syara’.

Dengan berpandukan syarat-syarat menjampi yang disebutkan di atas, maka mudahlah bagi kita menilai jampi yang diharuskan dan jampi yang ditolak menikut sukat-sukat hukum syara’.

Setelah meneliti kandungan catatan tawar-tawar atau jampi-jampi sebagaimana yang dikemukakan, saya mendapati sebahagian besar daripadanya tidak dapat difahami dan bahkan mengandungi kata-kata yang tidak selaras dengan jalan aqidah.
Misalnya:

i) Puku Tawar:

“ Aku lazat Allah, terdiri daripada Allah
Muliaku mulia Allah
Kayaku kaya Allah
Kuatku kuat Allah”


Ulasan:

Perkataan ‘lazat’ bererti sedap atau enak atau seronok. Lazat dalam bahasa Minangkabau bermakna teruk atau penyakit berat atau penyakit raja singa.

Apabila di hubungkan makna-makna ‘lazat’ itu dengan “aku lazat Allah”, tidak boleh difahami maksudnya, apabila dilanjutkan lagi ungkapan : “Terdiri daripada Allah” juga tidak dapat difahami. Pada dasarnya ugkapan-ungkapan seperti ini dan banyak lagi yang terdapat di dalam buku catatan jampi berkenaan tidak memberikan makna jampi atau doa bahkan lebih jauh sudah menyangkut perkara-perkara aqidah yang terlarang.

Dalam tawar di atas juga menyebut :

“Muliaku mulia Allah
Kayaku kaya Allah
Kuatku kuat Allah”

Ungkapan-ungkapan seperti ini boleh membwa makna bahawa si penjampi berkenaan menyifatkan kemuliaanya, kekayaannya serta kekuatannya adalah sebanding atau sama dengan kemulian, kekayaan serta kekuatan Allah Ta’ala. Jika benar begitu, maka kata-kata sedemikian ini tidak syak lagi membawa kepada syirik, meyekutukan Allah Subhanahu Wa ta’ala. Wal ‘iyadzubillah. 

ii) Doa Nabi Allah Yusuf (hal.4)

“Bismillah, Nor Allah, mani Allah Menikam di dadaku
Jika kau….. Malam Nampak kau berbandam,
Jika kau….. Siang Nampak kau bercahaya
Berkatku Memakai doa’ Allah Yusuf
Berkat la ela ha Allah(3x)”

Ulasan
Dalam doa di atas ada tersebut perkataan “mani Allah”.
Daalam kamus, “mani” ini bererti air dan benih yang terpancut keluar dari alat kelamin lelaki atau haiwan jantan ketika bersetubuh (mengawan) atau apabila mencapai puncak syahwat. Jika itulah yang dimaksudkan, maka bererti si penjampi telah menyandarkan kepada Allah itu sesuatu perkara yang dianggap bertentangan dengan aqidah, iaitu perkara yang hanya berlaku ke atas atau untuk makhluk sahaja.

Sayugia diingat bahawa salah satu sifat wajib bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala itu ialah : Tiada sesuatu yang serupa atau emnyamai Allah Ta’ala sebagaimana serupa atau emnyamai Allah Ta’ala sebagaimana firmanNya :
ليس كَمِثلهِ شيء وَهُوَ السّمِيعُ البَصِيرُ 

( سورة الشورى :11)

Tafsirnya: “Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya. (dzatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya), dan dialah yang Maha Mendengar lahi Maha Melihat.”

(Surah Asy-Syura :11)

ولمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدُ

( سورة الإخلاص : 4)

Tafsirnya: “Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya.”

(Surah Al-Ikhlash :4)
Menilai kepada zahir ungkapan, doa yang dikatakan sebagai doa Nabi Allah Yusuf ‘Alaihissalam di sini, adalah amat meragukan.

Kemudian dari segi ungkapan-ungkapannya juga didapati seolah-olah ada interaksi atau perhubungan dua hala antara bomoh (penjampi) dengan pihak lain, tetapi siapakah dia tidaklah diketahui, seperti contoh ini :

i) Doa Nabi Allah Yusuf (hal. 4)

“jika kau… Malam Nampak kau berbandam” 




ii) Kehendak diri (hal.9)

“hie….. Malaikat kasi bin,
Sasatkan hati si anau kepada diaku”

iii) Pesan Mimpi (hal. 7)

“Ya Roh ku Ya Rohmu
Aga olehmu Roh se….”

iv) Doa menundukkan hati orang yang panas / marah (hal. 12)
“ Aku pesuruh Allah kau pesuruh Adam”

v) Tawar Burut
“ Lucu luci batang bertambah –tambah
Aku yang bersalah aku yang kau sembah
Aku yang berdosa aku yang kau puji,”

Ungkapan-ungkapan ini tidak dapat difahami dengan jelas di samping menimbulkan kewahaman ianya bertentangan dengan aqidah umat Islam. Misalnya ungkapan ini:
“ Aku pesuruh Allah kau pesuruh Adam”



Walaupun sesetengah jampi berkenaan ada diselitkan beberapa ayat Al-Quran, namun ianya (jampi-jampi itu ) tidaklah boleh diterima, kerana ayat-ayat yang diselitkan itu tidak tepat sebutannya serta salah ejaan dan ditulis pula dengan huruf Rumi. Disamping itu ungkapan-ungkapan banyak yang tidak difahami dan meragukan. Contohnya: 
i) Jampi Penumbuk (hal. 8)
“ Ja lika as iara ban” 
Kemungkinan ia diiqtibas daripada :
(ذلك لمن خشي ربه) surah Al-Baiyanah , ayat 8
ii) Berjalan di dalam air (hal. 2)
“ Bismillah…. Cumum bekumun ummuyun”
Kemungkinan ia diiqtibas daripada: 
(صم بكم عمى) surah Al-Baqarah, ayat 18

Dalam keadaan ini pastinya si penjampi sekali-kali tidak akan dapat mencapai maksud dan hikmat ayat-ayat tersebut kerana kesalahan-kesalahan yang dijelaskan di atas.
Ada juga ungkapan yang merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran dan ayat-ayat itu diiringi perkataan-perkataan yang mengelirukan yang tidak sewajarnya dikaitkan dengan ayat-ayat tersebut, seperti contoh ini: 
i) Amanat sangkil tidur (hal. 10)
“ Kulala (قل هو الله؟) sungsang Fatia (فاتحة؟) sungsung” 

ii) Penutup nafsu (hal. 36)
“ Alif mati Fataha (فاتحة؟) Mati”

Lebih menyingpang lagi apabila Allah dijadikan objek seperti makhluk padahal Dia (Allah) itu adalah sunyi daripada sebarang kekurangan seperti makhluk itu, contohya: 
i) Tawar mati pucuk (hal. 25)
“ Allah yang dikunci”
ii) Pemutu Allah (hal. 20)
“ Allah terbunuh baru aku terbunuh”

Selain daripada contoh-contoh yang disebutkan ini, banyak lagi ungkapan-ungkapan yang yang terang-terang salah serta menyalahi aqidah. Perkara itu boleh disabitkan dengan mengenal pasti pendapat-pendapat ulama mengenai jampi. Daripada syarat-syarat jampi yang ditetapkan oleh mereka itu, maka jelaslah jampi-jampi yang ada ini tidak dapat diterima tetapi wajib ditolak dan dicegah.

Maka atas asas ini, bomoh berkenaan tidaklah harus dibiarkan begitu saja, tetapi hendaklah dinasihati dan dihalang daripada terus bergiat mengamalkan jampi-jampi berkenaan, lebih-lebih lagi jika terdapat usaha untuk menyibar dan mengembangkanya kepada orang lain.

Langkah pencegahan dan pembenterasan itu ialah semata-mata bagi memelihara orang-orang islam daripada turut terjebak mempercayai dan memakai jampi-jampi yang salah ini. Yang penting dan bahkan utama ialah melindungi aqidah umat islam, termasuklah pengamal jampi-jampi ini sendiri.


Sumber:

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned
Tarikh Diisu : 2000

Nota: Fatwa mufti kerajaan brunei 2000

Jampi Yang Terlarang Jampi Yang Terlarang Reviewed by dsbbst on 19:16 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.