‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian

Pengenalan

Ilmu dan amalan sihir merupakan antara ilmu dan amalan yang tertua di dunia. Ilmu ini melibatkan penggunaan khidmat jin dan syaitan dan diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu. Ia sering digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh. Maka tidak hairanlah jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam perceraian antara suami dan isteri. Allah SWT telah menyatakan kemungkinan terjadinya hal ini melalui firmanNya yang bermaksud: “Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya…” (Al-Quran 2: 102). 

Di Malaysia, isu penggunaan ilmu sihir bagi mencerai beraikan pasangan suami isteri ada dibangkitkan dalam beberapa kes dalam mahkamah Syariah. Antaranya ialah kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman [1410] JH 41, kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 dan kes Muhammad Kamran Babar Nazir Khan dan Yani Yuhana Mohd Zambri. Malangnya, isu tersebut tidak mendapat perhatian disebabkan ketiadaan garis panduan dan peruntukan undang-undang berkaitan sihir.


Penggunaan Sihir Dalam Perceraian

Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 102, para ulama sependapat bahawa ilmu sihir digunakan untuk memecah belahkan hubungan suami dan isteri. Perceraian dengan menggunakan ilmu sihir ini biasanya berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan.

Melalui pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Terdapat juga suami atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaan hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa kerelaan hati. Penulis pernah berdepan dengan kes isteri yang beriya-iya mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isterinya yang lain tidak begitu.

Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman, perayu mendakwa telah melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu, gangguan sihir bermula setelah beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang. Semenjak itu, fikirannya menjadi tidak tenteram, berasa benci dan marah pada isterinya tanpa sebab. Pernah beliau memukul isterinya sedangkan dia sendiri tidak menyedari apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga beliau telah membuat permohonan untuk menceraikan isterinya. Perayu menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut. Beliau mendapatkan rawatan dari seorang perawat tradisional dan menurut perawat tersebut, beliau telah kena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Penyihirnya itu berasa dengki lalu menyihirnya agar rumahtangganya bercerai berai. Setelah mendapatkan rawatan dan keluar dari kantin tersebut, beliau telah pulih dan boleh berfikir secara normal. Perayu merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talaq tiga yang telah direkodkan oleh mahkamah sebelumnya. Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes ini belum didengar sewajarnya dan memerintah ianya dibicarakan semula ekoran kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar (racyu al-khabīr) berkenaan isu tersebut. YAA Hakim menyarankan agar perawat yang merawat perayu dipanggil untuk diminta pendapatnya sebagai pakar.

Kes di atas adalah salah satu kes melibatkan sihir yang di bawa ke mahkamah. Realitinya, terdapat beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) lagi kes yang hampir sama dialami oleh mangsamangsa sihir di luar mahkamah. Melalui temubual yang dijalankan terhadap beberapa orang hakim mahkamah Syariah di Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes perceraian memang wujud. Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan dengan kes sedemikian. Oleh kerana ketiadaan satu garis panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini, maka para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal. Selain itu, para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Justeru, gesaan YAA Hakim dalam kes Mustafa Batcha perlu dilihat sebagai satu isyarat betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan kes-kes sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga dari angkara sihir.

Hukum Syara’ Berhubung Kes Perceraian Dalam Keadaan Akal Tidak Sempurna

Isu perceraian khususnya perceraian melalui talaq merupakan satu isu yang sangat sensitif dan perlu ditangani secara berhati-hati dan teliti. Ianya salah satu perkara yang boleh terjadi sama ada dengan niat sengaja atau niat main-main. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi yang bermaksud: ”Tiga perkara yang dibuat sungguh-sungguh jadi sungguhsungguh, dan dibuat main-main jadi sungguh-sungguh, iaitu nikah, talaq dan rujuk.”

Justeru, para ulama sangat berhati-hati dalam membicarakan persoalan hukum cerai talaq ini. Syeikh Abi Bakr Usman menyatakan terdapat beberapa syarat yang perlu ada bagi menjadikan suatu lafaz talaq itu sah iaitu suami, isteri, sighah, qasad talaq dan kekuasaan suami. Kekuasaan yang dimaksudkan di sini ialah kemahuan hati yang disertai dengan kewarasan akal yang sempurna. Oleh itu, talaq yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan akalnya yang tidak sempurna atau dalam keadaan kemahuannya yang dikuasai oleh seseorang atau oleh sesuatu adalah tidak sah. Ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (1995), Abu Daud (1952) dan Ibn Majah (1972) yang bermaksud: ”Tidak gugur talak dan tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (marah yang bersangatan).”

Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri menyatakan dalam kitabnya Al-Fiqh cala al-Mazāhib al-Arbacah, juzu 4 halaman 142 yang bermaksud: ”Maka disyaratkan pada orang yang mentalak
itu beberapa perkara; antaranya ialah berakal sempurna. Maka tidak sah talaq orang gila (majnun) walaupun gilanya itu terputus-putus yang datang sekejap kemudian hilang. Apabila dia menjatuhkan talaq sewaktu dalam keadaan gilanya, maka talaq tersebut tidak diambil kira. Yang dikatakan gila (junun) ialah sesiapa yang hilang akalnya disebabkan oleh sakit, demam, sakit kepala yang bersangatan.” Pendapat yang sama turut diutarakan oleh Imam As-Shāficī, Imam Al-Mawardi dan Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Tegasnya, para ulama sepakat mengatakan bahawa talaq yang dilafazkan oleh seorang yang tidak berakal sempurna atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya adalah tidak sah. Jika didasarkan dengan pengalaman penulis dan juga apa yang dicatat oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam merawat mangsa sihir, keadaan tidak sempurna akal dan hilang kawalan sering dialami oleh mereka yang disihir, bahkan lebih dari itu. Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal, kerjaya, hubungan dengan orang di sekeliling hinggalah pada kediaman atau premis mangsa. Selalunya, mangsa akan mudah rasa tertekan, berserabut, benci, marah, meluat atau sedih yang bersangatan dan tidak dapat dikawal. Adakalanya mangsa mendengar bisikan-bisikan agar menceraikan isteri atau diperlihatkan gambaran-gambaran pasangannya melakukan perbuatan curang sehingga menimbulkan kemarahan yang melampau. Rasulullah SAW pernah disihir sehingga Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda SAW tidak melakukan demikian. Peristiwa ini dicatat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ini menunjukkan kemampuan penyihir mempengaruhi pemikiran dan kehendak mangsa terutama dalam perkara berkaitan rumahtangga. Sebagai contoh, sihir pemisah atau sihir pembenci digunakan bagi memisahkan pasangan suami isteri atas sebab-sebab tertentu yang selalunya dikaitkan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya. Hasilnya, timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham, timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh. Ada juga penyihir yang menggunakan bahan-bahan dari haiwan yang suka bercakar seperti tulang kucing dan anjing yang dipuja, lalu di tanam di bawah rumah atau diletakkan atas bumbung rumah mangsa. Natijahnya, kehidupan mangsa dan pasangannya yang aman bertukar menjadi huru hara dan selalu bertengkar ibarat kucing dan anjing.

Dalam kitab Fatāwa wa ishtishārāt al-Islām al-Yaum, juz 11, hal. 358, ditegaskan: Dan adapun orang yang disihir yang mana sihir tersebut menyebabkan hilang kewarasan dan kesedaran akalnya, sehingga menyebabkan dia mengucapkan apa yang dia tidak mahukan, maka sesungguhnya talaq yang diucapkan ketika itu tidak berlaku berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak jatuh talaq yang dilafazkan dalam keadaan ighlaq”.

Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Mukhtasar Al-
Fatawa Al-Misriyyah halaman 544 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang disihir sehingga ke tahap dia tidak menyedari apa yang diucapkan maka talaq tersebut tidak berlaku. Manakala sekiranya sihir yang dikenakan itu tidak menyebabkan perubahan pada kewarasan akal dan kesedarannya, seperti sihir untuk menghalangnya dari melakukan persetubuhan sahaja, maka talaq itu sah.”

Bekas Presiden Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Muhsin Ibn Hamd Al-cIbād pernah ditanya berkenaan hukuman bagi seseorang yang melakukan kesalahan dalam keadaan dia dirasuk atau disihir. Beliau menjawab dengan maksud: ”Sekiranya dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan akal yang tidak waras, maka dia tidak dikenakan hukuman. Manakala sekiranya dia melakukan kesalahan tersebut sedangkan akalnya waras, maka dia dikenakan hukuman walaupun dia mengalami kesakitan, kemurungan dan ketidakselesaan. Perkara yang hanya memberikan pelepasan baginya hanya akal yang tidak waras.”

Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya mana-mana suami menjatuhkan talaq dalam keadaan hilang pertimbangan akal akibat disihir, maka hukum talaq tersebut tidak sah. Seseorang yang melakukan perbuatan dalam keadaan tiada akal (ghair cāqil) tidak akan menanggung sebarang akibat perbuatan beliau berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud: ”Diangkat pena dari tiga golongan: Dari orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan dari orang gila hinggalah dia berakal atau sedar dari gilanya.”

Dalam pada itu, ada juga kes tuntutan cerai fasakh yang difailkan atas sebab kecederaan dan
kecacatan fizikal yang dialami oleh mana-mana pasangan seperti penyakit kusta, sopak atau kudis yang sukar diubati, ratqa (tertutup kemaluan wanita dengan daging), qarna (tertutup kemaluan wanita dengan tulang), cunnah (mati pucuk bagi lelaki). Sebenarnya, sesetengah kes mati pucuk, hilang tenaga kelakian dan lemah syahwat yang dialami oleh lelaki boleh juga disebabkan oleh angkara sihir.  Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir batang keladi dan sihir jerutan. Menurut Walter Farber, sihir jenis ini telah pun diamalkan sejak tamadun Mesopotamia lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari ini. 

Penggunaan sihir sebegini juga banyak dilaporkan berlaku di Eropah sekitar kurun ke-15. Sihir santau yang dihasilkan dari benda-benda gatal dan berbisa seperti miang buluh, rebung, ulat bulu pula boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang busuk, badan terasa sakit seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam dan terasa bisa-bisa pada badan. Sekiranya mana-mana pasangan mengadu bahawa punca kecacatan atau kecederaan fizikal yang dialami itu dipercayai adalah angkara sihir melalui tanda-tanda yang lazim, maka pihak mahkamah perlu memberi peluang kepada pihak yang teraniaya untuk membela diri.

Beban Pembuktian ’Kena Sihir’ Sebagai Pembelaan

Pengalaman menyaksikan kes-kes pasangan suami isteri yang bercerai angkara perbuatan sihir menyedarkan penulis agar satu pembaharuan dalam perundangan perlu dilakukan bagi membela nasib mereka yang teraniaya terutama isteri dan anak-anak. Pihak yang teraniaya ini seharusnya diberikan peluang untuk membela dan mempertahankan rumahtangga mereka atas alasan pasangannya ’kena sihir’. Setiap kali cadangan seumpama ini dikemukakan kepada pihak yang mempunyai autoriti, penulis akan diajukan soalan iaitu bagaimana perkara ini hendak dibuktikan dalam mahkamah.

Untuk merealisasikan bentuk pembelaan ini, beban pembuktian oleh pihak yang mendakwa akan diperincikan. Bagi kes cerai talaq, sekiranya:
a) seorang suami mendakwa talaq dilafazkan dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau, 
b) seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir;
maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
i). wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom lazim terkena sihir’ pada diri suami;
ii). suami mengalami ketidak warasan/ ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa
beliau melafazkan talaq.
iii).ketidak warasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah.

Oleh itu, sekiranya seorang suami mendakwa bahawa dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan akalnya tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas beliau untuk menunjukkan bahawa wujudnya ’simptom lazim terkena sihir’ ke atas diri beliau dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan beliau hilang kewarasan akal. Manakala jika seorang isteri mendakwa suaminya telah menceraikannya dalam keadaan akal suami tersebut tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas isterinya untuk membuktikan bahawa wujudnya simptom lazim terkena sihir pada diri suaminya dan sihir
tersebut benar-benar menyebabkan suaminya hilang kewarasan akal.

Bagi kes tuntutan cerai fasakh atas alasan yang hanya melibatkan unsur fizikal tanpa mempengaruhi mental mangsa (seperti penyakit kusta, sopak atau kudis, ratqa, qarna dan cunnah), maka pasangan yang percaya bahawa alasan tersebut berpunca dari ‘kena sihir’, maka beliau perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
a) wujudnya kecederaan atau kecacatan pada fizikalnya;
b) wujudnya simptom-simptom lazim terkena sihir yang mempunyai kaitan dengan kecederaan atau kecacatan itu;
c) kecederaan atau kecacatan fizikal itu menjadi alasan tuntutan fasakh oleh pasangannya.

Sekiranya berjaya dibuktikan, mahkamah seharusnya mengeluarkan perintah agar mangsa atau pasangannya mendapatkan rawatan pemulihan dari pengaruh sihir tersebut dalam tempoh tertentu sebelum kes tersebut dibicarakan semula.

Keperluan Meminta Pendapat Pakar Bagi mengenalpasti ’simptom lazim terkena sihir’

Mangsa-mangsa sihir biasanya akan mengalami simptom-simptom tertentu yang boleh dinamakan sebagai ’simptom lazim terkena sihir’. Bagi menilai sama ada simptom-simptom yang didakwa akibat terkena sihir itu benar-benar tergolong dalam simptom lazim terkena sihir, maka pendapat pakar yang memahami selok belok ilmu dan amalan sihir perlu diminta. Perkara ini telah pun dibincangkan oleh para ulama. Menurut Al-Khatib As Syarbini, seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Oleh itu, mana-mana individu yang mempunyai pengalaman yang luas dan diiktiraf masyarakat sebagai pakar perubatan Islam boleh dipanggil bagi memberi pendapat sebagai pakar. Terpulang kepada hakim untuk menerima atau menolak keterangan tersebut. Keperluan kepada pendapat pakar dalam isu sihir telah diisyaratkan oleh Y.A.A. Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman: ”Hakim yang Arif tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”

Oleh itu, sekiranya mana-mana pasangan dalam kes perceraian mendakwa wujudnya penggunaan sihir bagi mencerai beraikan rumah tangganya, maka pihak mahkamah boleh meminta pendapat pakar (yang dilantik oleh mahkamah atau oleh pihak yang mendakwa) bagi mengenal pasti dan menentukan perkara-perkara berikut:
a) Adakah benar simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan sihir, ataupun hanyalah simptom akibat gangguan makhluk halus yang berpunca dari saka yang diwarisi, amalan kebatinan khurafat, rawatan tradisional yang menyeleweng atau selainnya;
b) Sejauh mana sihir yang dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa;
c) Adakah wujud sebarang kolerasi dan pertalian antara simptom yang dialami, bahan sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;
d) Adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan;
e) dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah negeri negeri di Malaysia yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam suatu sains atau seni untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah.

Sekiranya hakim (setelah meneliti dan mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang yang mendakwa itu benar-benar mengalami simptom-simptom disihir, maka beliau boleh mengeluarkan perintah agar orang tersebut dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh mangsa atau pasangannya. Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam rumahtangga memang berlaku dan pernah dibangkitkan dalam beberapa kes di Mahkamah Syariah. Para ulama Islam juga sepakat mengatakan bahawa perceraian yang didalangi ilmu sihir tidak sah di sisi syara. Justeru, isu ini perlu diteliti dan diperincikan agar menjadi panduan untuk para hakim dalam menghakimi keskes perceraian yang melibatkan sihir. Dibimbangi sekiranya hakim tidak memahami selok belok isu ini akan tersalah hukum. Secara tidak langsung, misi iblis dan syaitan untuk mencerai beraikan anak Adam dapat direalisasikan melalui institusi kehakiman Islam. Penelitian terhadap isu ini bukan sahaja dapat memberikan keadilan kepada pasangan suami dan isteri, malah dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian rumahtangga mereka. Langkah-langkah yang dicadangkan dlam kertas kerja ini merupakan salah satu langkah bagi membela nasib pasangan yang teraniaya akibat diceraikan angkara penggunaan sihir.

Sumber: 
Dr. Mahyuddin bin Ismail, Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Pahang.
Tajuk kajian: ‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian: Analisa Dari Sudut Hukum Syara’ Dan Pengaplikasiannya Di Mahkamah Syariah Di Malaysia, 
‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian ‘Kena Sihir’ Sebagai Satu Pembelaan Dalam Kes Perceraian Reviewed by dsbbst on 20:21 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.