JUNUB & WANITA HAID BACA AL-QURAN NIAT ZIKIR
-JUNUB & WANITA HAID BACA AL-QURAN NIAT ZIKIR-
SOALAN INBOX ( Ustaz Syed Shahridzan)
Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh ustaz,saya nak bertanya,bolehkah ketika berjunub membaca semua surah al-baqarah niat semata-mata zikir?
.
JAWAPAN:
1) Orang yang berjunub dan wanita dalam keadaan haid dan nifas diharamkan membaca alquran menurut majoriti ulama termasuk mazhab Imam Syafi'ie رضي الله عنه.
.
2) Mereka yang berhadas besar sebegini haram membaca al-Quran walaupun sedikit dari ayat suci al-Quran. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi رحمه الله di dalam ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab’:
قد ذكرنا أنه يحرم على الجنب والحائض والنفساء قراءة شئ من القرآن وإن قل حتى بعض آية ولو كان يكرر في كتاب فقه أو غيره فيه احتجاج بآية حرم عليه قراءتها ذكره القاضي حسين في الفتاوى لأنه يقصد القرآن للاحتجاج: قال أصحابنا ولو قال لإنسان خذ الكتاب بقوة ولم يقصد به القرآن جاز وكذا ما أشبههه ويجوز للجنب والحائض والنفساء
Maksudnya: ‘Telah kami nyatakan bahawa haram ke atas orang yang berjunub, perempuan yang haid dan nifas membaca sedikit pun daripada al-Quran, walaupun sedikit meskipun separuh ayat, walaupun ia berulang-ulang di dalam kitab fiqh atau selainnya yang mana ia sebagai hujah dengan ayat suci di dalamnya, maka diharamkan membacanya sepertimana yang dinyatakan oleh al-Qadhi Husein di dalam fatwa-fatwanya. Ini kerana dia bertujuan membaca al-Quran untuk tujuan berhujah. Menurut ulama-ulama kami, jika seseorang(berhadas besar) menyebut “خذ الكتاب” (surah Maryam, ayat 12) dengan kuat(jelas) dan tidak bertujuan membaca al-Quran maka ia diharuskan, begitu juga yang seumpamanya’.
.
3) Kenyataan Imam Nawawi رحمه الله di atas jelas menyatakan bahawa haram membaca sepotong ayat atas tujuan membaca al-Quran. Namun diharuskan membaca potongan-potongan(frasa ayat) dengan tujuan bukan al-Quran, tetapi atas tujuan lain. Ini dinyatakan oleh beliau dalam rujukan yang sama:
ويجوز للجنب والحائض والنفساء في معناه أن تقول عند المصيبة (إنا لله وإنا إليه راجعون) إذا لم تقصد القرآن: قال أصحابنا الخراسانيون ويجوز عند ركوب الدابة أن يقول (سبحان الذي سخر لنا هذا وما كنا له مقرنين) لا بقصد القرآن وممن صرح به الفوراني والبغوي والرافعي وآخرون وأشار العراقيون إلى منعه والمختار الصحيح الأول
Maksudnya: ‘Harus bagi orang yang berjunub, haid dan nifas menyebut ketika musibah menyebut “إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”(al-Baqarah, 156) jika tidak bermaksud al-Quran. Menurut ulama-ulama kami ahli Khurasan harus membaca ketika menaiki tunggangan “سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِيْنَ”(al-Zukhruf, 13) jika tidak bertujuan (membaca) al-Quran, antara yang menjelaskan secara terang tentang keharusannya ialah al-Fauzani, al-Baghawi, al-Rafi’ie dan selain mereka. Para ulama kami ahli Iraq pula memberi isyarat tentang larangannya(haram membaca secara mutlak) dan pendapat yang terpilih dan sahih ialah pendapat yang pertama(ahli Khurasan)’.
.
4) Jelaslah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi رحمه الله bahawa orang yang berhadas besar, haid dan nifas dibenarkan membaca potongan ayat al-Quran yang berbentuk doa tetapi dengan tujuan membaca doa bukannya tujuan membaca al-Quran seperti “رَبَّنَآ آتِنَا فِي ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي ٱلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّار”(al-Baqarah, 201).
.
5) Kesimpulannya, yang diharuskan mereka yang berhadas besar(junub, haid dan nifas) membaca potongan atau frasa ayat-ayat suci al-Quran yang berbentuk doa dengan tujuan membaca doa seperti doa naik kenderaan yang dipetik dari al-Quran(al-Zukhruf, 13). Begitu juga diharuskan bagi yang berhadas besar membaca separuh atau satu dua perkataan dari ayat suci untuk tujuan zikir bukan tujuan al-Quran tetapi zikir seperti nama-nama Allah(Amaul Husna) di dalam al-Quran.
.
6) Para ulama mutakhir mazhab Syafi'ie telah memperincikan melalui apa yang difatwakan oleh ulama-ulama terdahulu dengan mengharuskan mereka yang berhadas besar membaca al-Quran keseluruhannya tanpa tujuan membaca al-Quran. Kenyataan ini disebut oleh Imam al-Ghamrawi رحمه الله di dalam kitab "al-Siraj al-Wahhaj":
ويحرم بالجنابة أيضا القرآن أي قراءته ولو لبعض آية ولو حرفا وتحل أذكاره وكذا غيرها ولو لما لا يوجد نظمه إلا في القرآن كآية الكرسي لا بقصد قرآن بأن يقصد الذكر أو يطلق فإن قصد القرآن وحده أو مع الذكر حرم وقد أفتى بعض المتأخرين أنه لو قرأ القرآن جمعه لا بقصد القرآن جاز
Maksudnya: "dan diharamkan dengan sebab junub juga membaca al-Quran walaupun sebahagian ayat, walaupun satu huruf, dan dihalalkan zikir-zikirnya begitu juga selainnya walaupun yang tiada nazamnya(bentuk ayat) melainkan di dalam al-Quran seperti ayat kursi BUKAN TUJUAN AL-QURAN, iaitu tujuan zikir atau tujuan mutlak. Jika seseorang(yang berjunub) membaca dengan tujuan al-Quran (sahaja) atau beserta niat zikir maka hukumnya haram. Sebahagian ulama-ulama mutakhir berfatwa bahawa jika dia(orang yang berjunub) membaca seluruh al-Quran bukan tujuan membaca al-Quran maka hukumnya harus".
.
7) Ulama mutakhir yang di maksudnya oleh Imam Ghamrawi adalah dari apa yang difatwakan oleh Imam Syahabuddin al-Ramli(Ramli Kabir) dan disokong oleh anak-anak murid beliau iaitu Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam al-Khatib al-Syirbini dan anak beliau Imam Syamsuddin al-Ramli. Manakala Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori رحمه الله tidak sependapat dengan mereka رحمهم الله dalam isu ini, iaitu tidak boleh membaca keseluruhan al-Quran walaupun berniat/bermaksud zikir, namun diharuskan pada surah-surah yang pendek seperti 3 Qul, ayat kursi untuk tujuan zikir. Pada pengamatan saya, pandangan Sheikhul Islam ini bertepatan dengan kenyataan imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk dan ulama-ulama mazhab Syafi'ie dari aliran Khurasan.
.
8) Berdasarkan kenyataan di atas, para ulama mutakhir mazhab Syafi'ie(kurun ke-10 hijriyyah ke atas) berselisih pendapat tentang hukum orang yang berhadas besar membaca seluruh al-Quran atas niat zikir samaada ia diharuskan atau tidak. Namun mereka bersepakat bahawa haram bagi yang berhadas besar membaca al-Quran atas tujuan al-Quran seperti niat membaca al-Quran. Walaubagaiamana pun, menurut kitab "Hasyiah al-Jamal", pendapat yang muktamad di sisi mazhab Syafi'ie adalah apa yang difatwakan oleh Imam Syahabuddin al-Ramli.
.
9) Kesimpulannya diharuskan mereka yang berhadas besar(termasuk haid dan nifas) membaca keseluruhan al-Quran dan satu surah yang panjang dengan niat zikir seperti niat membaca doa memohon kebaikan dari Allah dari petikan ayat 201 dari surah al-Baqarah(Rabbana Aatina fid dunya hasanah...) dan ayat 13 surah al-Zukhruf(doa naik kenderaan) atau berniat zikir ketika ditimpa musibah seperti membaca potongan ayat 156 surah al-Baqarah(Inna lillahi...). Namun jika ada niat membaca al-Quran walaupun sedikit maka hukumnya haram walaupun sebaris ayat menurut majoriti ulama 4 mazhab.
.
10) Apa pun Imam Suyuti berpendapat di dalam kitab "al-Hawi Li al-Fatawa" agak sukar digambarkan satu surah yang panjang keseluruhannya tanpa tujuan al-Quran, ini kerana lafaz ayat-ayat suci di dalamnya untuk tujuan tilawah.
.
11) Antara perbezaan membaca al-Quran untuk tujuan membaca al-Quran dan tujuan zikir. Tujuan zikir biasanya dibaca tanpa dititikberatkan tawjid iaitu membaca ayat suci tanpa tajwid. Dari sudut ganjaran hanya mendapat pahala membaca zikir bukan pahala membaca al-Quran(satu huruf mendapat 10 pahala). Antara lain tujuan zikir adalah untuk mengambil ibrah dan pengajaran yang terkandung di dalam ayat-ayat suci.
..
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
*Tambahan: Membaca ayat al-quran untuk tujuan elak gangguan (ruqyah) dibolehkan asalkan niat sebagai zikir
Artikel asal dari Facebook Ustaz Syed Shahridzan
Junub dan Wanita Haid Baca Al-Quran Niat Zikir - Ustaz Syed Shahridzan
Reviewed by dsbbst
on
21:37
Rating:
Penjelasan yang sangat bermakna. Terima kasih share.
ReplyDelete