Hukum Meminta Bantuan Jin - Ust Kamilin Jamilin

HUKUM MEMINTA BANTUAN JIN
1. Jin merupakan makhluk Allah yang kita tidak kenali hakikatnya. Apa yang kita ketahui akannya dari cerita-cerita pihak tertentu barangkali juga bukan hakikat sebenarnya. Kita tidak mampu melihat atau mendengar mereka, tidak seperti manusia yang kita dapat lihat, selidik dan sebagainya. 


Adakah dia benar-benar jin mukmin yang soleh? 
Adakah dia jujur dan benar dalam setiap kata, pengakuan dan tindakannya? 
Adakah keimanan dan ilmu agama kita sudah kukuh untuk menghadapi tipu daya atau pendustaannya?

2. Manusia sememangnya mudah tertarik kepada perkara-perkara mistik. Kerana itu satu jenama majalah berunsurkan mistik dahulu pernah menjadi majalah terlaris negara, malah filem-filem hantu berunsurkan tahyul dan khurafat mendapat antara kutipan tertinggi negara. 



Tabiat insan yang suka mencari sesuatu yang tidak pernah dilihatnya, atau benda hilang, atau hal ehwal pihak lain, atau cerita-cerita aneh lepas atau akan datang, bahkan kepada perkara-perkara ghaib yang hanya Allah mengetahuinya, mudah dijadikan umpan syaitan untuk menyesatkan manusia.

hukum meminta bantuan jin.jpg


3. Lebih tertariknya seseorang itu untuk mengetahui perincian hal-hal ghaib ini, lebih besar fitnah yang akan menimpanya apatah lagi mereka yang berusaha untuk melakukan "deal" atau berdiplomasi dengan makhluk ini. 

Justeru kita mendapati ramai manusia yang terlibat dalam perkara ini terjebak dengan perkara-perkara yang ditegah agama, bahkan ke tahap syirik! Begitulah halusnya tipu daya makhluk halus ini.

4. Tidak dinafikan jin mempunyai kudrat yang tidak dimiliki manusia. Oleh demikian terkadang mereka mampu melakukan apa yang tidak kita mampu berdasarkan kudrat yang Allah kurniakan buat mereka, sama seperti kita mampu mencari sesuatu berdasarkan kemampuan yang kita miliki dari teknologi dan seumpamanya. Begitu juga mereka, namun perkara ini banyak disalah anggap oleh manusia sehingga menyangka mahluk ini mengetahui serba-serbi hal ehwal ghaib.

5. Justeru manusia ditegah dari terlibat dalam hal ini atau memohon bantuan mereka demi menutup pintu-pintu kejahatan ini. Bahkan Nabi SAW yang pernah disihir, kehilangan rantai Asma’ RA dan ditimpa pelbagai kesukaran bersama para sahabat baginda RA pun tidak pernah memohon bantuan makhluk ini. Cukuplah mereka sebagai "uswah" tauladan.

6. Dalam al-Quran Allah berfirman:
وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٌ۬ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ۬ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقً۬ا
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat” [al-Jin: 6].

وَيَوۡمَ يَحۡشُرُهُمۡ جَمِيعً۬ا يَـٰمَعۡشَرَ ٱلۡجِنِّ قَدِ ٱسۡتَكۡثَرۡتُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ‌ۖ وَقَالَ أَوۡلِيَآؤُهُم مِّنَ ٱلۡإِنسِ رَبَّنَا ٱسۡتَمۡتَعَ بَعۡضُنَا بِبَعۡضٍ۬ وَبَلَغۡنَآ أَجَلَنَا ٱلَّذِىٓ أَجَّلۡتَ لَنَا‌ۚ قَالَ ٱلنَّارُ مَثۡوَٮٰكُمۡ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ‌ۗ

“Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: Wahai Tuhan kami, sebahagian dari kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami. (Allah berfirman): Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah” [al-An’am: 128].

7. Manakala ada pihak yang berdalilkan ta’amul Nabi Sulayman AS dengan jin, maka kita katakan: Ta’amul baginda AS dengan mereka tidak melampaui syariat yang diturunkan kepada baginda, apatah lagi ianya merupakan khususiyyah (kurniaan khas) kepada baginda berdasarkan doa baginda yang difirmankan Allah:

قَالَ رَبِّ ٱغۡفِرۡ لِى وَهَبۡ لِى مُلۡكً۬ا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍ۬ مِّنۢ بَعۡدِىٓ‌ۖ
“Katanya: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku” [Sad: 35].

Apa yang dituntut buat kita umat Muhammad SAW ialah mengikuti syariat Muhammad SAW bukan para Nabi AS terdahulu. 

Jika begitu istidlalnya (cara memahami nas) tanpa dhawabit (guideline), mengapa tidak diambil juga syariat umat Nabi Musa AS yang perlu dibunuh untuk bertaubat sebagaimana dalam surah al-Baqarah?? Atau syariat Nabi Adam AS yang dibolehkan berkahwin sesama adik beradik??

8. Bezakan antara perilaku memohon pertolongan (isti’anah) yang diharuskan dan yang ditegah. 

Perkara-perkara yang khas buat Allah seperti menyembuhkan penyakit tidak boleh dipesongkan doa terhadap manusia.

Itu yang kita baca hari-hari dalam solat: “إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ”, dan itu jualah yang diperintahkan Nabi SAW: “إِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ” (Jika kamu memohon pertolongan, maka pohonlah pertolongan dengan Allah) [Riwayat Ahmad]. 

Tugas manusia hanya berusaha merawat, dan Allah jua yang menyembuhkan. 
Jika perkara-perkara khas ketuhanan tersebut dipohon dari selain-Nya, itu yang termasuk dalam bab syirik. 

Manakala apa yang di ruang lingkup kudrat manusia, ianya harus sebagaimana firman Allah: “وَإِنِ اسْتَنصَرُوكُمْ فِي الدِّينِ فَعَلَيْكُمُ النَّصْرُ” (Jika mereka meminta bantuan kalian dalam urusan agama, maka bantulah mereka) [al-Anfal: 72]. Nabi SAW memohon bantuan para sahabat dalam banyak perkara, namun tidak pernah memohon bantuan dari mereka dalam perkara-perkara yang melibatkan khususiyyah Allah Yang Maha Kuasa.

9. Kejayaan sesuatu perkara dengan bantuan jin bukan bererti ianya dibenarkan syarak. Adakah Dajjal kelak yang diizinkan Allah menurunkan hujan, menumbuhkan tumbuhan, menghidupkan orang yang telah dibunuh juga dianggap benar hanya kerana "kejayaannya"??

Hukum Meminta Bantuan Jin - Ust Kamilin Jamilin Hukum Meminta Bantuan Jin - Ust Kamilin Jamilin Reviewed by dsbbst on 22:24 Rating: 5

2 comments:

  1. Sy ismarul saya nak cakp macam mana keadaan macam saya ni dulu sy ad seorg gadis yg saya nak . Die ada respons lah dgn sy . Tapi pada suatu hari tu die Mintak putus saya tak sangup nak putus . Sy ikut smua ustaz2 cakap doa beguni2 . Tp tak di kabulkan . Memintal bantuan ustaz ustaz plk suruh cari yg lain . Apa pendapat anda dgn masaalah sy ni

    ReplyDelete
  2. Sy dah tak tahu nk buat apa .

    ReplyDelete

Powered by Blogger.