Soalan Tentang Penyakit al-Ain & Taqdir

Saya pernah terbaca hadis bahawa penyakit ‘Ain boleh mendahului taqdir. Benarkah?

Jawapan:

Tidak benar. Hadis yang dimaksudkan ialah:

الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا.

Penyakit al-‘Ain memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain. Justeru apabila kamu disuruh mandi, maka mandilah.[1]

Al-‘Ain ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata. Orang dengki lagi jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit. Akan tetapi ada sebahagian orang yang menolak penyakit al-‘Ain kerana pada perkiraannya ia mustahil. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membetulkan penolakan ini dengan penetapan: “Penyakit al-‘Ain memang ada.” 

Akan tetapi walau dengan pandangan mata yang amat “berkuasa” sekalipun, ia tidak akan memberi pengaruh kepada orang yang dipandangnya melainkan dengan kehendak Allah Subhanahu waTa’ala. Ini kerana pandangan mata hanyalah sebab manakala musababnya tetap bergantung kepada qadar dan qadha Allah.

Adapun maksud sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam: “Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain” , maka ia seperti berikut: Semua penyakit termasuk al-‘Ain berlaku dengan kehendak Allah. Tidak ada penyakit yang dapat mendahului taqdir.


Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, maka yang pertama sekali ialah penyakit al-‘Ain. Ini sebagai satu perumpamaan bagi menunjukkan betapa benar dan berkuasa penyakit al-‘Ain itu.

Antara cara memelihara diri dari penyakit al-‘Ain dan mengubati diri seandainya terkena penyakit al’Ain ialah mandi. Inilah maksud penghujung hadis: “Justeru apabila kamu disuruh mandi, maka mandilah.”

Hadis ini juga memiliki beberapa pengajaran penting di sebaliknya: Semua penyakit berlaku kerana qadar dan qadha Allah Subhanahu waTa’ala. Sebab-sebab penyakit ada pelbagai seperti pemakanan yang salah, cuaca, bakteria dan virus yang tersebar, jangkitan dan rasukan jin. 

Namun semua ini adalah sebab yang dapat memberi pengaruh namun musababnya – yakni penyakit – hanya akan berlaku jika Allah mengkehendakinya berlaku. Sebab-sebab penyakit dipertanggungjawabkan atas manusia. Maka hendaklah kita berusaha untuk menjauhi sebab-sebab yang memberi pengaruh kepada penyakit. Jika sudah terkena penyakit, maka hendaklah kita mengusahakan sebab-sebab penyembuhannya.

Musabab penyakit disandarkan kepada Allah kerana ia hanya dapat menimpa seseorang dengan kehendak Allah. Allah menjadikan penyakit itu berlaku sebagai ujian kepada hamba-Nya, penghapus dosa, merehatkan badan, peringatan kepada yang leka dan pelbagai hikmah yang lain.

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4058 (Kitab al-Salam, Bab penjelasan tentang pengubatan, sakit dan ruqyah).

Sumber:
http://www.hafizfirdaus.com/ebook/47QNQ/S38.htm
Soalan Tentang Penyakit al-Ain & Taqdir Soalan Tentang Penyakit al-Ain & Taqdir Reviewed by dsbbst on 00:16 Rating: 5

2 comments:


  1. Awesome information..
    Keep writing and giving us an amazing information like this..

    BW gan kunjungi nyapnyap.com

    ReplyDelete


  2. Awesome information..
    Keep writing and giving us an amazing information like this..

    ReplyDelete

Powered by Blogger.