Wednesday, 23 December 2015

Lelaki Ini Gembira Bila Anaknya Diuji Menghidap Penyakit

Setiap orang pasti menghadapi kesukaran dalam kehidupan iaitu ujian. Walaupun nampak pada wajah mereka ketenangan dan kegembiran, tapi dalam hati penuh dengan ketabahan dan pasrah. Hanya Allah tahu.

Sebuah Keluarga Bahagia

Lelaki ini dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupannya. Walaupun tidak kaya, tapi sifat syukur dan sabar sentiasa ada dalam diri. Gaji cukup makan, isteri suri rumah, anak-anak masih bersekolah. Tapi, anak-anak menjadi penyejuk mata buat ibu dan ayah. Anak-anak semua dengar cakap, hormat ibubapa, jaga solat dan rajin belajar. Syukur.

Bermula Kisah Ujian

Kebahagiaan pada setiap orang tidak pernah diragut, sebenarnya hidup itu diuji oleh Allah. Orang yang sabar dan syukur akan tetap merasa kebahagiaan walaupun dalam ujian. 

Anak sulung beliau (perempuan) diuji dengan kesakitan. Katanya diganggu oleh makhluk halus. Hati ayah mana yang tak sedih bila melihat keadaan anak perempuannya meracau, sakit, kurus, tak bermaya.

Hampir setiap hari dibawa berjumpa dengan ustaz pengamal perubatan islam untuk dapatkan rawatan. Tapi Allah belum kurniakan kesembuhan sepenuhnya buat anak beliau. Namun, beliau redha dan ikhtiar lain. Tidak sesekali terdetik di hati beliau untuk bawa jumpa bomoh, pawang walaupun tersohor dengan kehebatan mereka. Itu SYIRIK. Kalau mati, MATI KATAK. Allah tak ampun dosa orang syirik. 

Hampir 3 bulan anaknya sakit. Terlantar di atas katil. Anaknya yang dulu peramah, periang, sebaliknya. Bergenang air mata bila memandang anaknya. Tapi dia yakin, Allah maha pemurah, maha penyembuh, maha pengasih. Jauh sekali untuk dia mengalah kepada hasutan syaitan untuk dibawa jumpa bomoh. 

Gambar hiasan

Bekalan Bagi Ayah Bertaqwa & Anak Yang Sabar

Inilah resipi kesabaran beliau dan anaknya. Taqwa. Anak yang menanggung derita itu pun tetap sabar diuji. Katanya, “Ayah jangan sedih ya, kakak syukur kakak diuji. Semakin berat ujian, kakak rasa semakin dekat dengan Allah”. 

Air mata beliau deras mengalir. “Ayah syukur dan sabar nak. Ayah rasa tenang bila lihat kakak”.

Antara amalan yang tak pernah ditinggalkan ialah Solat, baca al-Quran, Bersedekah setakat kemampuan, Selalu bantu orang, Suruh anak tutup aurat, Amalkan amalan pendinding seperti baca Surah al-Baqarah, 3 Qul dan sebagainya. Ustaz juga selalu pesan Sabar, Yakin pada Allah, Jangan Syirik, Teruskan usaha ikhtiar, Jangan putus asa.

Kasih Allah Sentiasa Pada Hambanya

Susah nak yakin pada kasih Allah pada hambanya. Tapi bila diuji, kita akan mula sedar bahawa kasih Allah tetap pada hambanya. Kita yang selalunya ingkar pada suruhan Allah. Allah kurniakan kesembuhan buat anak beliau selepas hamper 5 bulan hadapi ujian.

Dengan ujian itu, hubungan kasih sayang keluarga semakin erat, yakin pada Allah semakin kukuh, Ibadat semakin terjaga, hubungan dengan jiran semakin kuat. Inilah kesan ujian yang biasanya kita Nampak susah, sakit tapi hakikatnya Allah nak tunjuk kasih sayangNya kepada hambaNya.

Antara pesanan lelaki itu ialah

1) Yakin Allah sayang pada kita
2) Jangan sesekali bersangka buruk dengan Allah
3) Sentiasa jaga amalan wajib, jauhi perkara haram supaya bila hadapi ujian kita menjadi kuat. 
4) Amalkan membaca al-Quran 
5) Sentiasa baca Al-fatihan, Ayat Kursi, Surah 3 Qul, Zikir sebagai pendinding.
6) Jauhi perasaan hasad dengki
7) Ramah dengan jiran dan berbuat baik dengan mereka


*Cerita ini adalah hasil nota 'storytelling' dalam ceramah perubatan islam

Tuesday, 22 December 2015

Cuti Maulidurrasul DSBBST

Untuk makluman semua, Cuti Maulidurrasul

Darussyifa Bandar Baru Salak Tinggi (DSBBST) akan BERCUTI / DITUTUP selama seminggu iaitu;

Bermula dari 22 Disember 2015 (Selasa) sehingga 28 Disember 2015 (Isnin) 

dan akan kembali beroperasi semula pada 29 Disember 2015 (Selasa)

Harap maklum dan sebarkan


Sebarang Pertanyaan boleh hubungi nombor rasmi DSBBST

010-8178394

Wednesday, 11 November 2015

Rukyah dalam Perubatan Tradisional Melayu sebagai Rawatan Penyakit, Pencegahan, Pendinding Diri dan Harta

Ruqyah dalam Hadith Nabi Muhammad S.A.W:

Perubatan Islam merupakan satu sistem perubatan yang bersumberkan kepada al-Qur’an dan Sunnah. Ia telah diamalkan semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W dan dikenali dengan perubatan Nabi. Melalui komentar Sahih of al-Bukhari iaitu Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ahmad b. Ali Ibn Hajr al-Asqalani (d. 852/1449) dan Umdat al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Abu Muhammad Mahmud Ahmad al-‘Ayni (d. 855/1452), perubatan Islam melalui ruqyah dapat diketahui dalam pelbagai buku hadith antaranya ialah Sahih Bukhari. Imam Bukhari dalam Sahih al-Bukhari telah menyenaraikan hadith-hadith berkaitan ruqyah dalam beberapa bab. Antaranya ialah: Bab al-Ruqa bi al-Qur’an wa al-Mu’awwizat; Bab al-Ruqa bi Fatihat al-Kitab); Bab al-shurut fi alruqyah bi fatihah al-kitab); Bab ruqyah al-’ayn; Bab al’ayn haqq; Bab ruqyah al-hayyah wa al-uqrab; Bab al-nafth fi al-ruqyah); Bab mash al-raqi al-waj’ biyadihi al-ymna); Bab al-mar’ah tarqa al-rajl); dan Bab man lam yarqa.

Ruqyah: Satu Kaedah Rawatan dalam Islam: 

Ibn Hajar al-‘Asqalani telah menjelaskan kaedah pengubatan yang dilakukan oleh Rasullullah S.A.W antaranya ialah kaedah Jasad atau Tibb Jasad (pengubatan jasad) dan Kaedah Rohani atau Tibb al-Qalb (pengubatan hati). Tibb Jasad atau pengubatan jasad adalah pengubatan secara fizikal yang bersifat semulajadi. Sebagaimana Sabda: Dari Sa’id bin Jubair, dari Ibnu Abbas, dari Nabi S.A.W, baginda bersabda maksudnya, “kesembuhan (pengubatan) itu terletak pada tiga kaedah: meminum madu, berbekam dan pemanasan dengan api. Tetapi aku melarang umatku mengubat dengan kaedah pemanasan dengan api.” (Riwayat Bukhari).

Manakala, Tib al-Qalb atau pengubatan hati pula ditakrifkan sebagai pengubatan dengan doa dan bacaan-bacaan tertentu daripada al-Qur’an atau sunnah atau yang disusun oleh pada ulama ahli perubatan yang disebut Ruqiyyah. Daripada Hadith: Dari Abi Khuzamah bahawa katanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasullullah! Bagaimana pendapatmu tentang melafazkan kata-kata doa (ruqiyyah) untuk memohon kesembuhan, kami bacakan ruqiyyah (jampi) itu dan tentang ubat yang kami pergunakan untuk mengubati penyakit serta tentang kata-kata doa untuk mohon perlindungan dan pemeliharaan (taqiyyah), lalu kami bacakan taqiyyah itu (untuk diperdengarkan kepada Rasullullah SAW). Tidakkah hal itu bererti menolak takdir (ketentuan) Allah? Maka Rasullullah S.A.W menjawab: Hal itu juga termasuk takdir Allah” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Dalam masyarakat Melayu-Islam, pengamalan ruqyah (jampi) adalah lebih kepada pencegahan dan rawatan penyakit serta sebagai pendinding diri daripada gangguan makhluk halus iaitu jin dan syaitan. Al-Qur’an ada menyebut tentang kewujudan makhluk halus seperti syaitan (syayatin), jin (jinnah) dan iblis. Terdapat 216 ayat di dalam al-Qur’an yang menyebut kewujudan makhlus halus antaranya di dalam surah Al - Baqarah ayat 14, 23, 24, 34, 36, 102, 168, 169, 208, 256, 257, 268 dan 275.

Di antara ruqyah (jampi) yang sering menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu-Muslim bagi menghindari gangguan syaitan dan jin adalah Ayatul Kursi di mana ayat ini sering diamalkan sebelum tidur bagi menghindari gangguan syaitan dan jin semasa tidur. Surah al-Fatihah juga merupakan salah satu ruqyah (jampi) yang sering diamalkan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit dan sebagai penerang hati. Begitu juga dengan surah Yaasin, Basmallah, Surah al-Nas, Surah al-Falaq, al-Ikhlas serta zikir dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W yang mana diamalkan bagi tujuan yang sama iaitu perawatan ke atas penyakit dan pelindung daripada gangguan jin dan syaitan. Pengamal-pengamal perubatan Islam menggunakan ruqyah (jampi) sebagai mekanisma mereka merawat pesakit. Mereka menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an dan perkataan-perkataan
Nabi, Rasul dan para sahabat Nabi sebagai ruqyah (jampi) semasa mengubati pesakit. Asas kepada perubatan mereka adalah dengan memohon pertolongan dan petunjuk daripada Allah S.W.T yang disertai dengan tawakal. 

Terdapat juga pengamal yang menggunakan tumbuhan, haiwan dan galian sebagai ubatan yang diberikan kepada pesakit selain memberikan rawatan fizikal. Ini dengan kepercayaan bahawa kehidupan manusia dan persekitaran adalah saling bersandaran. Walau bagaimana cara sekalipun, pengamal-pengamal ini masih menggunakan ruqyah (jampi) di dalam perawatan mereka. Sudah tentu, ruqyah (jampi) adalah salah satu kaedah perubatan Islam. Ia mementingkan pengisian kerohanian berbanding jasmani dalam rawatan dan pencegahan pesyakit. Dengan perkataan lain, ia lebih menekankan aspek rohani supaya kembali kepada fitrah manusia iaitu pertaliannya dengan Pencipta Sekelian Alam iaitu Allah S.W.T. Ia menekankan keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T yang berkuasa untuk menyembuhkan sesuatu dan berhak untuk menunaikan apa yang dihajati. Diriwayatkan bahawa Abi Khuzamah pernah bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasullullah! Bagaimana pendapatmu tentang melafazkan kata-kata doa (ruqiyyah) untuk memohon kesembuhan, kami bacakan ruqiyyah (jampi) itu dan tentang ubat yang kami pergunakan untuk mengubati penyakit serta tentang kata-kata doa untuk mohon perlindungan dan pemeliharaan (taqiyyah), lalu kami bacakan taqiyyah itu (untuk diperdengarkan kepada Rasullullah SAW). Tidakkah hal itu bererti menolak takdir (ketentuan) Allah? Maka Rasullullah S.A.W menjawab Hal itu juga termasuk takdir Allah.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).



Perubatan Tradisional Melayu Satu Warisan:

Warisan Perubatan Melayu ditulis ketika perubatan tradisional Melayu berkembang dan diamalkan secara meluas di kalangan masyarakat Melayu di Nusantara. Walau bagaimanapun, pengetahuan dan amalan perubatan tradisional yang dimiliki oleh para dukun dan bomoh tidak diterbitkan. Oleh itu, A. Samad Ahmad telah menyunting sebuah manuskrip lama yang berjudul Ilmu Tabib bertarikh 1288/1872 yang telah disalin oleh Muhammad Salleh Ibni Ahmad Penambang. Manuskrip tersebut adalah di antara yang terpenting dalam bidang perubatan tradisional Melayu. Ia membicarakan kaedah perubatan tradisional Melayu termasuk kaedah rawatan, penyembuhan dan pencegahan pelbagai penyakit. Ini menunjukkan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman telah mengetahui khasiat tumbuhtumbuhan yang terdapat di sekeliling mereka. 

Pengetahuan tentang perubatan berdasarkan apa yang dibincang dalam buku ini bukan sahaja berguna kepada pakar perubatan moden dan tradisional, tetapi juga orang ramai yang ingin mengetahui ubat-ubatan Melayu tradisional. Ilmu Tabib telah dituliskan pada tahun 1288/1872. Ini menunjukkan bahawa ilmu perubatan tradisional Melayu telah ditulis selepas kedatangan Islam ke Nusantara. Ini terbukti apabila isi kandungan manuskrip tersebut dipengaruhi oleh sistem perubatan Islam dan amalan perubatan Nabi terutamanya yang berkaitan dengan jampi dari ayat suci al-Qur’an, hadith Nabi Muhammad S.A.W dan doa. Tidak terkecuali juga penggunaan beberapa mentera dari kepercayaan Hindu, serapah dalam bahasa Thai dan Pegu (Burma) serta tumbuhtumbuhan semulajadi turut dipraktik ketika ritual penyembuhan dijalankan. Keberkesanan jampi diyakini akan kemujarabannya oleh masyarakat tempatan. Maka, tidak hairanlah jika ia masih diamalkan sehingga ke hari ini terutama sekali apablia ia dijadikan sebagai sebahagian amalan tradisi masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Amalan Perubatan Melayu Sebagai Satu Budaya:


Haliza Mohd. Riji dalam bukunya Prinsip Dan Amalan Dalam Perubatan Melayu menganggap perubatan Melayu sebagai satu budaya perubatan yang didasari kepada kepercayaan, pemikiran rasional serta falsafah yang bersandarkan Islam dan pengalaman-pengalaman pengamal perubatan tradisional Melayu. Berbincangan dalam buku yang tersebut di atas merupakan satu kajian ilmiah. Selain daripada datadata yang diperolehi dari pesakit dan pengamal perubatan di Kedah dan Perlis, penulis juga berkongsi pengalaman dan penglibatannya selama lebih 15 tahun dengan bomoh, dukun dan bidan di Malaysia. Bagi tujuan ini, penulis telah mengguna tiga pendekatan dalam tinjauan penulisan mengenai penyakit dan perubatan iaitu sosiobudaya, psikososial dan sosiologi. Hasilnya, selepas 15 tahun penglibatan dalam bidang ini, penulis berjaya mendalami pengamal perubatan tradisional Melayu iaitu bomoh, dukun, bidan dan pawang dan dapat menerangkan perbezaan di antara bomoh, dukun dan pawang. Sebelum membicarakan isu-isu penting dalam perubatan tradisional Melayu, penulis menerangkan asal-usul perubatan tradisional Melayu di mana penulis menyentuh tentang peranan Lukmanul Hakim, seorang hamba Allah S.W.T, sebagai pencetus perubatan tradisional Melayu. Seperti ilmuwan lain, beliau turut menyatakan bahawa perubatan Melayu tradisional dipengaruhi oleh animisme, ajaran Hindu-Buddha dan Islam. Memandangkan Islam merupakan agama akhir sampai ke tanah Melayu berbanding Hindu dan Buddha, maka pengaruh perubatan Islam terutamanya yang berkaitan dengan jampi (ruqyah) berjaya merubah falsafah perubatan Melayu dari animisme kepada fahaman bersandarkan falsafah kehidupan  Tauhidiyyah iaitu kepercayaan kepada Pencipta, Allah S.W.T. 

Justeru itu, asas perubatan Melayu ialah tauhid iaitu keyakinan tentang keesaan Allah dari segi zat, sifat dan perbuatan-Nya. Kecenderungan untuk berbincang kaitan sihir, jampi dan ruqyah adalah jelas apabila penulis membincang mengenai sihir di mana ia diletakkan sebagai faktor spiritual dalam etiologi penyakit dan keuzuran. Penulis di antara yang terawal mendapati tiga jenis sihir digunakan di alam Melayu iaitu sihir pendinding diri, penyebab penyakit atau ilmu hitam dan sihir penyembuh. Tiga jenis sihir ini telah diIslamisasikan apabila ruqyah dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an dan do’a telah digunakan oleh bomoh jampi. Ayat al-Qur’an dan doa adalah di antara penyembuh kebatinan yang digunakan bagi tujuan penyembuhan penyakit-penyakit yang disebabkan faktor-faktor spiritual. Walaupun penulis membuat dan menjelaskan perbezaan di antara jampi dan doa antaranya ialah jampi melibatkan perkataan yang bertujuan menggerakkan hakikat sesuatu manakala doa pula berupa permohonan kepada Allah S.W.T agar perawatan yang dijalankan mendapat kejayaan, tetapi saya (pengkaji) berpendapat perbezaan tersebut tidak ketara kerana kedua-dua amalan iaitu jampi dan do’a mahu mennggerakan hakikat sesuatu dengan memohon restu dari Penyembuh (al-Shafi) iaitu Allah.

Perubatan dan Rawatan dalam Tib Nabi:

Jalaluddin Abd al-Rahman Al-Suyuti dalam Rawatan Cara Nabi Muhammad SAW menghuraikan pelbagai jenis penyakit jasmani dan rohani serta ubat-ubatnya yang diambil daripada al-Qur’an dan hadith Nabi Muhammad S.A.W. Tentu sekali, seorang perlu menguasai ilmu keagamaan dan pelbagai ilmu tabi’i termasuk perubatan sebelum membicarakan pelbagai jenis penyakit jasmani dan rohani serta ubat-ubatnya kerana ia dapat membantu mengetahui dan menerangkan pelbagai punca penyakit dan cara penyembuhannya berdasarakan al-Qur’an dan hadith Nabi Muhammad S.A.W. Memandangkan, pengetahuan penulis tentang pengubatan bukan hanya bersifat akademik sahaja, bahkan ia berdasarkan kepada praktik dan pengalaman yang cukup luas dalam bidang keagamaan dan sains tabi’i. Tidak hairanlan, di awal bahagian buku ini, penulis berjaya menerangkan tentang teori perubatan berasaskan falsafah perubtan Yunani dan Islam di mana beliau menyentuh tentang susunan tubuh manusia yang di antaranya mengandungi empat unsur iaitu api, udara, air dan tanah. Berdasarkan sususan ini, penulis dapat mengenal pasti tentang keadaan tubuh manusia dalam keadaan sihat, sakit dan tidak sihat tidak pula sakit; sebab-sebab penyakit dan tanda-tanda penyakit seperti rambut yang berwarna hitam adalah tanda panas. Seterusnya penulis menyentuh tentang cara penjagaan kesihatan termasuk apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dijauhi. Dalam buku ini juga terdapat pelbagai khasiat ubat-ubatan yang terdiri daripada tumbuhan dan haiwan. Mengikut langkah kajian Jalaluddin Abd al-Rahman al-Suyuti dalam Rawatan Cara Nabi Muhammad SAW, maka buku bertajuk Perubatan Mengikut Al-Qur’an Dan Sunah6 disusun oleh Abdul Aziz Ismail dan ia merupakan satu usaha menghuraikan peranan al-Qur’an dan Sunnah sebagai ubat bagi penyakit terutamanya kepada orang yang beriman. Abdul Aziz Ismail berpendapat, al-Qur’an tidak boleh dijadikan penawar untuk menyembuhkan penyakit hati dan jiwa orang-orang takabur, bahkan bagi orang munafik, hanya akan menambahkan penyakit dan dosa. Ini adalah sebahagian antara rahsia dan hakikat sistem perubatan yang dibincangkan dalam buku ini.


Jelas, bahawa buku ini menerangkan tentang ilmu perubatan yang sudah lama diperkenalkan oleh masyarakat Islam berdasarkan al-Qur’an dan Sunah Rasulullah (iaitu cara memelihara kesihatan, mencegah timbulnya penyakit dan mengubati/ menghilangkan penyakit). Signifikannya, penulis telah membicarakan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith Rasulullah S.A.W yang dapat dipraktik dan dijadikan sebagai amalan perubatan serta panduan hidup seharian. Abdul Aziz Ismail tidak menghuraikan dengan jelas, walaupun telah disokong dengan hadith Nabi, tentang pendapat beliau dalam buku yang tersebut di atas. Beliau menyimpulkan, sekiranya masyarakat beramal dan cuba untuk mendalami ilmu dari Kitabullah dan Sunah Rasul dengan baik, nescaya tidak diperlukan pendapat orang lain, kerana sudah cukup untuk memperolehi sumber segala ilmu apabila bermula dengan cara mengenal Allah S.W.T, mengetahui hukum-hakam dan peraturan hidup sehingga pedoman untuk kesejahteraan diri bagi kehidupan dunia dan akhirat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: Aku tinggalkan kepada kamu sesudah aku (wafat) dua perkara, yang jika kamu berpegang dan berpandukan kepadanya nescaya kamu tidak akan terbatas daripada kebenaran iaitu Kitabullah dan Sunah Rasul”. (Riwayat Imam Malik).

Di antara penjelasan yang dibuat oleh penulis berdasarkan hadith di atas ialah Rasulullah S.A.W adalah orang yang memahami masalah perubatan dan tidak dapat dinafikan bahawa sistem pengubatan Nabawi adalah benar, tepat dan besar manfaatnya. Sistem perubatan Nabawi tidaklah sama dengan sistem pengubatan moden kerana pengubatan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W berdasarkan wahyu Ilahi, keunggulan kenabian serta hasil pemikiran yang paling sempurna, sedangkan pengubatan moden biasanya atau hanya berdasarkan perkiraan, persangkaan dan percubaan. Selain daripada itu, Abdul Aziz Ismail, cuba menghuraikan ilmu perubatan Islam yang dipengaruhi oleh perubatan Greek. Seperti dalam karya agong perubatan Islam, penulis dalam Perubatan Mengikut al-Qur’an & Sunah menegaskan bahawa ubat hanya dapat menyembuhkan penyakit sekiranya ia serasi dengan tubuh pesakit dan mempunyai keyakinan terhadap ubat tersebut. 

Penerimaan ubat yang paling sempurna adalah dengan iman dan perasaan rendah diri di hadapan Ilahi. Al-Qur’an adalah sebagai ubat bagi penyakit. Jika ia tidak dilandasi oleh iman dan kesediaan merendahkan diri di hadapan Allah S.W.T, ia tidak akan dapat menyembuhkan penyakit hati dan jiwa. Penulis telah memperkukuhkan keterangan mengenai pengubatan secara berdoa dengan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi S.A.W dengan mengemukakan surah al-Israa’ ayat 82 yang bermaksud: Dan kami menurunkan al-Qur’an menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang yang zalim (melanggar perintah Allah) melainkan kerugian.

Menurut penulis lagi, ilmu kedoktoran moden berbeza dengan sistem kedoktoran dan pengubatan yang terdapat dalam perubatan Nabi S.A.W terutamanya yang berkaitan dengan pengubatan rohaniah. Penulis berpendapat, kekuatan hati, berpegang teguh kepada petunjuk Allah, bertawakal, meminta perlindungan kepada Allah, merasa hina dan kecil di hadapanNya, bersedekah, tidak terbenam dalam penyesalan dan lepas dari rasa susah dan bimbang adalah di antara pra-syarat pengubatan rohaniah. 


Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden oleh Danial Zainal Abidin telah membuktikan perubatan Islam secara saintifik dengan mengemukakan penemuan-penemuan sains semasa, baik yang dihasilkan oleh ahli-ahli sains Islam mahupun bukan Islam. Selaras dengan tajuk buku beliau, penulis menegaskan bahawa sememangnya ramai yang meyakini Islam sebagai satu agama yang tiada tolok bandingannya tidak mampu untuk membuktikan keunggulan tersebut dalam senario dunia sekarang yang sering memperkatakan tentang sains dan teknologi. Justeru itu, Islam dilihat oleh mereka yang bukan beragama Islam sebagai suatu agama yang beku dan tidak berkembang serta dilihat sebagai tidak sesuai dengan dunia yang serba canggih pada hari ini. 

Hakikatnya konsep perubatan yang terdapat di dalam al-Qur’an dan sunnah adalah untuk diikuti oleh manusia sejagat. Selepas menerangkan konsep perubatan Islam, penulis seterusnya menerangkan mengenai kebaikan tumbuhan dan haiwan yang tercatat dalam al-Qur’an dan larangan-larangan yang perlu dijauhi oleh umat Islam bagi tujuan pemeliharaan kesihatan beserta dengan kajian dan bukti saintifiknya. Di sini, penulis menyarankan supaya umat Islam pada hari ini perlu memberi fokus mendalam dalam bidang penyelidikan dan pembangunan supaya rahsia-rahsia al-Qur’an dan sunnah dapat difahami. Menurut penulis, umat Islam sebenarnya adalah umat yang saintifik kerana acuan pendidikan Islam amat menekankan konsep tafakur, penggunaan akal serta minda, penolakan sebarang bentuk khurafat dan tahayul di samping menggalakkan kajian dan analisis. Acuan inilah berjaya melahirkan ramai ahli sains Islam seperti Ibn Sina, al-Razi, Ibn Nafis, al-Zahrawi dan Khwarizmi.

Ayat al-Qur’an dan Doa Sebagai Pagar Hikmah:

Pagar Hikmah oleh Abdul Razak Kasman (Tok Janggut) adalah di antara panduan atau rujukan utama dalam rawatan, pencegahan dan penjagaan daripada penyakit serta harta benda melalui ruqyah kepada masyarakat Melayu di Nusantara. Penulis merupakan pengamal perubatan tradisional yang popular dan terkenal serta berpegalaman luas dalam hal ehwal kebajikan masyarakat tempatan. Beliau, yang dikenali dikalangan masyarakat tempatan sebagai orang bersikap mulia dan budi pekerti serta baik dan luhur, telah berjaya mengumpul hikmah yang amat berguna bagi masyarakat Melayu-Muslim Nusantara selepas melibatkan diri dalam rahsia pendinding diri dari gangguan syaitan, Jin dan manusia berjiwa Hayawaniyyah selama hampir 40 tahun. Sebagai ketua kampung, beliau telah banyak menyelesaikan masalah masyarakat tempatan berkaitan dengan gangguan makhluk halus. 



Pagar Hikmah merupakan panduan mengenai ruqyah (jampi) melalui ayat-ayat al-Qur’an dan do’a dan telah dibukukan di atas permintaan masyarakat tempatan. Kewajipan tersebut telah ditunaikan oleh pengarang selepas hajat murid-murid beliau yang berkehendak supaya beliau menerbitkannya. Selain daripada itu, jasa serta kedalaman ilmu agama yang dimiliki serta sumbangannya bukan sahaja kepada masyarakat tempatan malahan juga kepada masyarakat di Patani, Thailand serta Tanah Suci Mekah, maka tercetuslah idea untuk menerbitkan buku ini sebagai panduan hidup masyarakat dalam menangani masalah yang dihadapi. Dalam Pagar Hikmah, penulis menasihatkan supaya pengamal perubatan tradisional mempunyai semangat keberanian serta ketabahan menghadapi kuasa ghaib yang menjelma dan menjadikan seseorang itu lebih berusaha untuk mendalami ilmu-ilmu serta amalan-amalan yang dapat dijadikan sebagai pendinding diri. Kuasa-kuasa seperti ini sering dikaitkan dengan kekuatan atau pengaruh amalan batin. Ada sesetengah amalan batin yang tidak bercanggah dengan ajaran agama dan ada juga sebaliknya. Maka disebabkan ini, penulis menasihatkan supaya masyarakat sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan yang tiba walaupun hidup di zaman yang serba canggih dan moden dengan
kemajuan sains dan teknologi.

Jampi Serapah dalam Mantera Melayu: 

Haron Daud dalam bukunya yang bertajuk Mantera Melayu: Analisis Pemikiran menggunakan pendekatan mantera sebagai bahan sastera untuk mengenal pasti pandangan semesta dan corak pemikiran masyarakat Melayu. Untuk mencapai objektif kajian, penulis mengumpulkan manteramentera dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Menurut penulis, sejarah kewujudan mantera memang sukar diketahui dengan tepat walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa mantera lahir sejak terbentuknya masyarakat. Tidak salah untuk mengatakan, kewujudan mantera dalam masyarakat Melayu adalah berdasarkan corak kepercayaan mereka pada peringkat awal iaitu animisme dan cara hidup bersederhana. Ini telah dimantap selepas kedatangan pengaruh Hindu- Buddha dan Islam ke alam Melayu yang mana ia merupakan penyebab terjadinya proses evolusi dalam masyarakat dan budaya Melayu yang turut mempengaruhi corak kepercayaan mereka. 


Penulis menyatakan bahawa kepercayaan warisan mempengaruhi alam pemikiran orang Melayu. Kepercayaan ini juga menjadi asas kepada worldview, iaitu tentang bagaimana mereka memandang dunia di sekeliling mereka. Walaupun Islam memainkan peranan penting dalam pemikiran rasional, namun tradisi tetap penting sebagaimana yang terpancar melalui mantera. Aspek-aspek pemikiran itu lebih bercorak normatif rasionaliti yang banyak melibatkan soal spiritual.

Bomoh sebagai Raqi dalam Rawatan Melalui Ruqyah di Malaysia: 

Hashim Awang A.R. dalam artikelnya yang bertajuk Bomoh Di Kelantan: Dahulu Dan Sekarang  memberi tumpuan khusus kepada peranan bomoh di Kelantan dalam konteks masyarakat tradisi dan masyarakat moden. Selain daripada, penerangan tentang asal-usul bomoh, jenis-jenis bomoh serta perkhidmatan dan peranan bomoh di Kelantan, beliau menceritakan sejarah kedatangan perubatan moden ke dalam masyarakat Kelantan iaitu sekitar awal abad ke-20 apabila hospital dibina dan pegawai perubatan dihantar oleh pihak British untuk bertugas di negeri Kelantan. Dengan perkembangan ini lama-kelamaan perubatan moden menjadi kukuh di Kelantan. Walau bagaimanapun, perubatan tradisional tidak terus dilupakan kerana ia merupakan sesuatu yang telah sebati dengan jiwa mereka. Dalam hal ini, perubatan tradisional cuba diadaptasikan dan mengalami perubahan mengikut keperluan semasa dengan menolak amalan-amalan atau unsur-unsur yang bertentangan seperti upacara atau kepercayaan karutmarut disaring dan dipinggirkan. Penyaringan sebeginilah yang menjadikan perbomohan di Kelantan dapat dipertahankan sehingga kini. Menurut penulis lagi, pengekalan aktiviti perbomohan ini juga dipengaruhi oleh kemujaraban perubatan moden yang tidaklah 100 peratus berkesan dan masih ada kelemahan serta tidak mampu mengatasi segala masalah yang berkaitan dengan kehidupan. Bomoh-Poyang: Traditional Medicine And Ceremonial Art Of The Aborigines Of Malaysia oleh Roland Werner merupakan di antara kajian secara komprehensif mengenai perubatan tradisional orang Asli di Malaysia di mana bomoh dan pawing memainkan peranan yang penting dalam perubatan masyarakat tersebut. Penulis mendapati masyarakat orang Asli mempercayai setiap penyakit adalah berpunca daripada gangguan hantu. Berdasarkan hakikat ini, penulis telah menyentuh tentang upacara perawatan dan pemujaan untuk makhluk halus di samping beberapa buah mantera yang digunakan oleh masyarakat tersebut.


Transcultural Healing oleh Roland Werner, membicarakan pelbagai aspek rawatan tradisional terutamanya yang berkaitan rawatan dan pencegah penyakit dalam perubatan tradisional Melayu. Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, penulis telah mengumpul bahan yang berkaitan tradisi perubatan bukan hanya dari agama Islam,  Kristian, Hindu, Buddha dan Yahudi tetapi meliputi sistem kepercayaan dan adat masyarakat tempatan. Buku ini amat sesuai dijadikan rujukan bagi pengkaji, pengamal perubatan tradisional dan moden. Ia juga berguna kepada ahli antropologi dan sosiologi yang mahu mengetahui dan mendalami perubatan sebagai sistem teknosaintifik berteraskan budaya dan juga kepercayaan.

Royal Healer oleh Roland Werner membincangkan secara ilmiah pelbagai sejarah, bahasa, astrologi, biologi, zoologi, mineralogi, dan yang paling penting ialah aspek keagamaan dalam agama Hindu-Buddha dan Islam, yang berkaitan dengan perubatan dan rawatan penyakit. Penulis berkata: “Illness/disease can be caused by any of the spirits. The good forces may also cause illness or disease as a form of punishment for an offender.” “The healer is the medium who pleads with the spiritual/supernatural powers. Whichever spirit (good or bad) is responsible for the illness or disease is called upon to heal or cure
it. The healer thus negotiates with both good and bad powers.” 

Sejalan dengan petikan ini, penulis dalam mukadimah menyatakan: “In order to provide a more systematic examination, I have reorganized and structured the material into new chapters, e.g. Comparative Animal and Human Anatomy, Physiology, Pathology, Diagnosis, Types of Treatment, Register of Medicinal Plants, Sociocultural, Religious and Spiritual Concepts, Physiognomy, Astrology, Interpretation of Dreams, Qur’anic Verses and Prayers, Virtues of the Bismillah/Kalam Allah, Miracles, Talismans and Socio-Cultural Principles in the building of Houses (choice of site, specific structural aspects and impact upon people). I have also contributed comments to various topics based upon Islamic cosmological doctrine and natural philosophy.”


Mohd. Taib Osman dalam bukunya bertajuk Malay Folk Beliefs: An Integration Of Disparate Elements mengaitkan kepercayaan masyarakat Melayu dengan pengaruh Hindu-Buddha dan Islam di mana pengaruh ini masih wujud dalam amalan mereka terutama sekali pengaruh Islam sebagai dominasi utama.

Keberkesanan Berdoa (Prayer) sebagai Penyembuh Penyakit: 

The Importance of Prayer for Mind/Body Healing  oleh Madeline M. Maier-Lorentz menerangkan tentang keberkesanan berdoa (prayer) dalam penyembuh penyakit. Penulis mengharap agar pesakit senantiasa berdoa (prayer) untuk meyembuh penyakit disamping turut menggalakkan para doktor dan jururawat supaya berdoa (prayer) disamping berusaha secara bersungguh-sungguh dengan menggunakan pelbagai kaedah rawatan dalam rawatan penyakit mereka. Penulis juga mencadangkan agar para doctor dan jururawat dapat memberi saranan kepada pesakit supaya berdoa (prayer) dengan mengenepikan sikap diskriminasi di antara pesakit yang berlainan kepercayaan agama. Tidak dinafikan selepas pelbagai penyakit misteri muncul, maka ramai pesakit telah menerima perubatan ini dan berharap ia dapat diintegrasi ke dalam sistem rawatan, penjagaan dan pencegahan penyakit kesihatan tempatan. Dengan perkataan lain, minat masyarakat terhadap penggunaan doa (prayer) dalam penyembuhan minda atau jasad adalah mendalam dan berkembang sebagai salah satu perubatan alternatif dan komplimentari. Ini kerana doa (prayer), yang melibatkan fungsi mental dan meditasi, dapat memberi kesan secara fizikal kepada tubuh badan seperti merendahkan kadar pernafasan, hati, tekanan darah dan suhu kulit serta ia juga dapat memberi kesan positif bagi meringankan kesakitan, rasa loya, muntah dan insomnia. 

Walau bagaimanapun, terdapat pihak-pihak yang mengkritis penyembuhan secara berdoa ini (prayer) dengan mendakwa bahawa ia tidak dapat diukur. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan suatu kesimpulan yang saintifik. Himpunan doa atau panduan perubatan berjudul Doa-Doa Orang Sakit Dan Mendapatkan Zuriat telah disusun oleh pakar sakit puan moden iaitu A. Hamid Arshat, Rosliah Harun dan Shafiee Khatib Jali.  Ia merupakan panduan ringkas diterbitkan untuk memberi panduan kepada pesakit-pesakit dan kepada pasangan-pasangan kelamin yang menghadapi masalah untuk mendapatkan zuriat (anak). Berdasarkan kepada hakikat bahawa, setiap penyakit ada ubatnya melainkan penyakit tua yang mana manusia tidak dapat mengelakkannya dan Allah S.W.T menyuruh hamba-hamba-Nya mencari ubat bagi menyembuhkan penyakit-penyakit mereka, maka penyusun telah mengambil inisiatif menghimpunkan pelbagai doa sebagai alternative dalam rawatan perubatan moden.

KESIMPULAN 

Makalah ini boleh dijadikan panduan kepada penyelidik dalam bidang yang berkaitan perubatan tradisional kerana penyelidikan mengenainya terutamanya berkaitan ruqyah (jampi) agak berkurangan. Tidak dinafikan buku-buku dan artikel yang telah diulas dalam makalah ini mencerminkan budaya dan pandangan semesta masyarakat Melayu dalam perubatan. Mereka seperti masyarakat primitive lain secara tradisinya berfahaman animisme dan dinamisme iaitu kepercayaan kepada tenaga dan kekuatan roh, jiwa dan semangat terjelma dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda yang boleh mendapat kesan baik atau buruk kepada manusia. Selalunya, kelompok masyarakat ini mempercayai wujudnya makhluk ghaib yang boleh mengganggu dan menakutkan mereka. Berdasarkan kepada tulisan yang disebarkan dalam masyarakat Melayu terutamanya selepas kedatangan Islam, menunjukan telah berlaku proses Islamisasi yang dapat mengubah bentuk kepercayaan dan corak hidup masyarakat Melayu serta pandangan semesta mereka. Kepercayaan kepada dewa dan animism bertukar kepada kepercayaan Allah S.W.T dan RasulNya.

Didapati majoriti responden menggunakan ruqyah (jampi) seperti yang telah dinyatakan dalam kenyataan di atas. Ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap ruqyah berkenaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dari segi perubatan juga sebagai pendinding diri, keluarga dan harta benda. Tambahan pula, keyakinan mereka ini didorong oleh pandangan semesta yang pernah mereka anuti dahulu berhubung semangat jahat yang wujud disekelliling mereka. Sehubungan itu, untuk menangani semangat jahat ini, kuasa semangat dari ayat-ayat al-Qur’an digunakan. Keberkesanan menggunakan ayat-ayat al-Qur’an adalah didorong dengan semangat pengamalnya yang disertakan dengan keyakinan kepada kekuasaan Allah S.W.T. Ini menunjukkan bahawa ruqyah (jampi) melalui ayat al-Qur’an tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Melayu-Muslim.

Artikel asal adalah dari jurnal kajian 
Prof Madya Dr Nurdeng Deuraseh (UPM) & Hayati Lateh (UKM) "Rukyah (Jampi) dalam Perubatan Tradisional Melayu sebagai Rawatan Penyakit, Pencegahan, Pendinding Diri dan Harta: Kehebatan dan Sumbangan Ilmuwan Nusantara

Thursday, 5 November 2015

Sumbangan Zakat Daripada TM Kepada DSBBST

Alhamdulillah semalam (5 November 2015) pihak Telekom Malaysia melalui wakil mereka, Ustaz Sohor telah menyampaikan Zakat Fi Sabilillah yang berjumlah RM 5,000 kepada Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' Bandar Baru Salak Tinggi.

Pihak PRK DSBBST mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak TM


Ust Sohor (Berbaju Kuning) sedang menyampaikan sumbangan
kepada Timb Pengurus DSBBST, Ust Zainal (berbaju putih)

Sesi bergambar

Wednesday, 4 November 2015

Hukum Baca Ayat Ruqyah Ke Atas Air, Merenjis Dengannya dan Komen Ringkas Isu LPT 2


1. Saya lihat sebahagian sahabat terlalu segera menghukumkan salah dan memperlecehkan perbuatan beberapa individu yang merenjis/menyiram air ke LPT 2 sebagai usaha 'merawat' jalan tersebut yang dikatakan berhantu/'keras' kerana banyak kemalangan berlaku di situ.

2. Dalam masa yang sama, saya lihat sememangnya kebiasaan masyarakat Melayu terlalu obses dengan kisah mistik sehingga mengenepikan asas tauhid yang mesti bersumberkan sunnatullah dan syariatullah, aqli dan naqli. Pun begitu, saya tidak nafikan adanya gangguan syaitan dan jin kepada manusia. Ini jelas dalam Qur'an dan Hadith.

Gambar Hiasan

3. Muka jalan yang beralun, jalan yang lurus dan membosankan, sunyi, keletihan pemandu, dan lain-lain faktor perlu diambil kira sebelum 'menyalahkan' jin, syaitan dan segala macam hantu yang dikatakan wujud di LPT 2. Halusinasi boleh jadi berlaku akibat pemandu yang terlalu mengantuk dan kemudiannya otak mula memproses imej-imej yang 'menyeramkan' dan 'dilihat' oleh pemandu.

4. Jika dilihat dalam al-Qur'an, terdapat banyak ayat-ayat berkenaan akidah terutamanya dalam bentuk cabaran kepada orang musyrik. Ayat itu biasanya akan didahulukan dengan cabaran bersifat aqli dan kemudiannya menyusul naqli. Lihat contohnya dalam Surah al-Ahqaf ayat 4. Boleh kita fahami bahawa, dalil-dalil berkenaan akidah boleh dan malahan perlu datang dalam dua jalan, akal dan wahyu. Qur'an dan Hadith tanpa meninggalkan keperluan bukti saintifik/empirikal. Sunnatullah dan syari'atullah.

5. Ulama' tidak sepakat dalam hukum Solat Sunat Hajat. Hadith berkenaan solat Hajat juga berstatus dhaif jiddan. Ada juga ulama yang membawakan hadith lain yg berstatus hasan sahih bagi menyokong hadith ini. Imam al-Bukhari mengkategorikannya sebagai munkarul hadith. Hujjatul Islam Imam al Ghazali menyatakan bahawa solat Hajat adalah termasuk ke dalam golongan solat nafilah iaitu solat sunat yang dianjurkan untuk dilakukan. Apapun, ia terpulang kepada pendapat masing-masing untuk melakukannya.

6. Seterusnya adalah masalah 'air solat hajat' yang direnjiskan.

i. Air solat hajat tidak ada dalam syariat Islam.

ii. Air yang dibacakan ayat suci al-Qur'an dan beberapa hadith berkenaan rawatan (ruqyah) ada dalam Islam. 

iii. Perbuatan merenjis air ruqyah adalah diharuskan dalam Islam sebagaimana fatwa Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah. Rujuk [http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php…]

Saranan saya, sekiranya ingin melakukannya adalah lebih baik dibacakan ruqyah syar'iyyah pada air. Boleh rujuk pelbagai kitab-kitab mu'tabar berkenaan bacaan ruqyah yang sahih. Antaranya Wiqayat al-Insan min al-Jinn wa al-Syaitan oleh Shaykh Abdul Wahid Salam Bali, Kaifa Tu’aliju Maridhaka bi al-Ruqyah al-Syar'iyyah oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad al-Sadhan ataupun buku-buku pengubatan Islam dalam Bahasa Melayu yang dipastikan sahih sumbernya, misalnya buku kecil Ruqyah Asas Perubatan Islam oleh TG Dato' Dr. Harun Din.

7. Jika masih was-was dengan kaedah renjisan ini, cukup dengan berdoa kepada Allah dengan penuh adab dan pengharapan. Tidak perlu berdoa dan solat hajat di tepi jalan. Itu tindakan yang membahayakan nyawa sendiri. Firman Allah SWT, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan" (Surah al-Mu'min ayat 60)

7. Sebaga kesimpulan, saya bawakan hadith. Sabda Nabi SAW,

اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ، اَلطِّيَرَةُ شِرْكٌ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ، وَلَكِنَّ اللهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.

“Thiyarah* itu syirik, thiyarah itu syirik, thiyarah itu syirik dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya saja Allah menghilangkannya dengan tawakkal kepada-Nya.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adabul Mufrad no. 90;, Abu Dawud, no. 3910; al-Tirmidzi, no. 1614; Ibnu Maja no. 353)

*Thiyarah adalah menganggap sial pada benda, perkataan atau apa sahaja.

Wallahua'lam.

Kredit:

Sunday, 1 November 2015

Hukum Kaedah Rawatan Jarak Jauh

RAWATAN JARAK JAUH

Kaedah rawatan jarak jauh adalah merujuk kepada kaedah rawatan yang dilakukan untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kehadiran pesakit atau merawat rumah dan bangunan tanpa kehadiran perawat ke tempat tersebut. Rawatan jarak jauh ini boleh berlaku dalam banyak keadaan, tetapi pada kebiasaannya rawatan dijalankan tanpa perawat melihat pesakit atau pergi ke sesuatu tempat.

Antara pendekatan dalam rawatan jarak jauh adalah rawatan yang dijalankan melalui penggunaan alatan perhubungan seperti telefon, internet dan lain-lain. Hal ini bermakna, rawatan yang dilakukan oleh perawat adalah melalui percakapan dalam telefon di mana perawat dan pesakit tidak bersemuka, tetapi mereka berkomunikasi ketika itu antara satu sama lain walaupun jarak antara mereka beribu batu. Dalam keadaan lain, perawat juga merawat pesakit dengan menggunakan gambar pesakit yang dibawa oleh keluarga pesakit. Hal ini disebabkan oleh keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan. Ini bermakna, perawat akan membacakan ruqyah ke atas pesakit yang berada di dalam gambar tersebut. 

Bagi merawat rumah yang diganggu oleh makhluk halus atau membantu memagar kawasan rumah, kaedah ini juga dilakukan di mana tuan rumah hanya perlu menyatakan alamat dan memberi sedikit gambaran rumah bagi proses pemagaran dan perlindungan rumah yang dilakukan oleh perawat tanpa kehadiran perawat ke kediaman berkenaan.

Doa 

Manakala dalam rawatan menggunakan alat perhubungan seperti telefon berlaku komunikasi antara pesakit dan perawat Cuma tidak bersemuka. Rawatan dilakukan dengan perawat meminta agar pesakit menyediakan bahan rawatan seperti air mineral dan lain-lain lalu melalui alat tersebut perawat membacakan ruqyah dan diperdengarkan juga ke atas bahan rawatan tadi. Dalam keadaan tertentu, jika terdapat tindak balas daripada pesakit seperti mengerang kesakitan atau kepanasan, dapat menunjukkan bahawa kaedah tersebut memberi kesan dalam rawatan yang dijalankan. Kemudian, dalam rawatan terhadap kediaman atau bangunan atau premis tertentu, berdasarkan pemerhatian pengkaji, terdapat perawat yang meminta agar pesakit melakarkan pelan rumahnya atau premisnya dan perawat akan membantu mengesan kehadiran makhluk halus dalam premis atau kediaman tersebut. 

Selepas itu, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah tertentu dan melakukan isyarat memagar kawasan sekeliling rumah atau kediaman tersebut dan pada masa yang sama menghalau keluar makhluk halus yang mendiami kawasan itu. Selain itu, terdapat juga rawatan jarak jauh yang dilakukan dengan keadaan rawatan secara ghaib iaitu perawat atau pengamal perubatan tersebut menyarankan pesakit agar melaksanakan segala arahan yang perlu dilakukan. Lalu pada sebelah malam nanti akan datang perawat (dalam keadaan ghaib atau tidak diketahui oleh perawat) untuk membantu pesakit tersebut menyembuhkan
penyakitnya. Selalunya amalan ini dilakukan oleh para bomoh.

DALIL TERHADAP KEHARUSAN MENGGUNAKAN KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Berhubung dengan pengamalan kaedah rawatan jarak jauh ini, adakah ia dibenarkan atau ia menyalahi tuntutan syarak? Dalam menjawab persoalan ini, Dr. Haron Din mengatakan bahawa kaedah rawatan jarak jauh adalah salah satu daripada kaedah yang baik dalam rawatan penyakit. Kaedah ini dipetik dan difahami daripada sebuah hadith Nabi SAW yang menyarankan agar seseorang itu mendoakan sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya itu. Ia juga termasuk dalam konteks doa yang mendapat perkenan Allah
SWT kemakbulannya.

Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau segala kebaikan yang engkau doakan untuknya.” Hadith riwayat Muslim, Kitab al-Dhikr wa al-Du‘a’ wa al-Tawbah wa al-Istighfar

Maksudnya: “Apabila seseorang lelaki mendoakan (kebaikan) bagi saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh suadaranya itu), maka Malaikat akan mengucapkan amin dan mendoakan ke atas dirinya doa seperti itu.” Hadith riwayat Abu Dawud, Kitab al-Witr

Maksudnya: “Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dengan dirinya.” Hadith riwayat al-Tirmidhi, Kitab al-Birr wa al-Silah 

Apa yang dinyatakan oleh Dr. Haron Din adalah merujuk kepada kaedah rawatan jarak jauh yang menekankan kepada penggunaan ruqyah-ruqyah al-shar‘iyyah yang bukan menggunakan jampi serapah dan bukan mendakwa bahawa akan datang suatu makhluk pada malam hari untuk membantu merawatnya. Rawatan tersebut masih dalam bentuk rawatan yang mematuhi tuntutan syariat Islam.

Dalam ‘Awn al-Ma‘bud yang memetik pendapat al-Tibbi berkata bahawa sebahagian daripada golongan salaf apabila mahu mendoakan sesuatu ke atas dirinya, maka didoakan ke atas saudaranya dengan doa tersebut agar dapat didoakan oleh malaikat seperti doa tersebut. Bahkan doa tersebut lebih mudah dimakbulkan Allah SWT. Hal yang sama juga disebutkan oleh al-Nawawi dalam al-Minhaj

Al-Nawawi dalam al-Minhaj berkata bahawa maksud berdoa dibelakangnya adalah merujuk kepada berdoa secara rahsia tanpa diketahui bahawa seseorang itu telah didoakan oleh sahabatnya. Tambahan lagi, ia lebih mengundang rasa keikhlasan dalam berdoa berbanding berdoa dihadapannya. Manakala al-Qadi berkata bahawa pada hadis ini menunjukkan kelebihan berdoa secara rahsia ke atas saudara Muslim yang lain sekalipun doa itu ditujukan ke atas satu kumpulan orang Islam maka ia termasuk dalam erti kata berdoa sedemikian.

Oleh yang demikian daripada hadis dapat dikaitkan bahawa seseorang perawat yang membantu saudaranya Muslim yang sakit dengan memanjatkan doa atau melalui perlaksanaan ibadah seperti solat hajat dan sebagainya, maka ia termasuk dalam erti kata membantu merawat pesakit itu secara jarak jauh tanpa diketahui oleh pesakit. Maka dengan izin dan perkenan Allah SWT, pasti akan disembuhkan oleh Allah SWT.

PENJELASAN HUKUM TERHADAP KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Berhubung dengan kaedah rawatan jarak jauh, didapati bahawa kaedah ini juga berkesan dalam merawat pesakit khususnya dalam membantu pesakit yang enggan mendapatkan rawatan, menghadapi keuzuran atau jarak rumahnya yang jauh. Ini kerana pendekatan ini masih menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah, cuma ia dilakukan tanpa kehadiran pesakit sahaja. Dalam keadaan yang lain, ahli keluarga membawa gambar pesakit lalu bertemu dengan perawat untuk mendapatkan rawatan di samping menyatakan nama pesakit dan masalah yang dihadapi. Berkaitan dengan penggunaan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit, pengkaji dapat membahagikan kepada dua pandangan yang utama dari sudut keharusan dan pengharaman penggunaan kaedah ini.

Pertama: Diharuskan untuk menggunakan kaedah jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit atau mangsa untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi. 

Selain itu, diharuskan juga menggunakan kaedah ini dalam situasi ia dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan saling mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon rumah atau bimbit. Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar. Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi. 

Dalam situasi yang lain pula, juga termasuk dalam rawatan jarak jauh adalah melalui amalan solat hajat dan mendoakan kesembuhan bagi pesakit. Melalui amalan ini, ia adalah diharuskan, bahkan Nabi SAW sangat menggalakkan seseorang Muslim itu mendoakan kesejahteraan bagi Muslim yang lain dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan tersebut tidak diketahui oleh sahabat yang didoakan tersebut melainkan Allah SWT sahaja.

Kedua: Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh sekiranya tidak melibatkan sebarang perhubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus. Contohnya perawat menyatakan bahawa beliau akan menjalankan rawatan (iaitu selepas mendapatkan maklumat dan persetujuan dari pesakit atau ahli keluarga) apabila tibanya waktu malam, pesakit akan didatangi seseorang yang tidak dikenali ketika tidur (dalam keadaan tidak sedar) untuk merawat pesakit tersebut. 

Pesakit juga disyaratkan untuk meletakkan bahan-bahan tertentu yang diberikan oleh perawat di bawah bantal tidurnya dengan tujuan rawatan sedemikian. Cara rawatan sedemikian jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, ia menyerupai amalan perbomohan yang mendakwa bahawa akan ada makhluk yang akan membantu merawat pesakit tersebut ketika tidur seperti akan didatangi oleh makhluk berjubah putih dan berserban atau mendakwa bahawa akan didatangi oleh seorang syeikh yang datang merawat pesakit itu dan pelbagai keadaan lagi. Secara umumnya cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal. Dalam sesetengah keadaan, perawat itu berusaha untuk menunjukkan kelebihan dan kemampuannya dalam rawatan sehingga dirinya dipandang sebagai seorang yang hebat dan dipercayai.

PANDANGAN KESELURUHAN TERHADAP KAEDAH RAWATAN JARAK JAUH

Daripada perbincangan di atas, pengkaji lebih cenderung untuk menyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya tidak menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit
di atas beberapa alasan, iaitu:

Pertama: Mengelak daripada timbulnya itnah dan dakwaan sumbang terhadap rawatan Islam. Hal ini kerana, apabila disebutkan rawatan atau pengubatan Islam, bermakna pendekatan dan kaedah rawatan yang menepati lunas-lunas syariah serta bertepatan dengan amalan Nabi SAW, para sahabat serta para ulama salaf. Nabi SAW sendiri tidak pernah membantu para sahabat berbuat demikian melainkan Baginda secara langsung merawat sahabat yang sakit atau Baginda memberi nasihat dengan menyatakan cara dan siapa yang patut dirujuk untuk merawat penyakit sedemikian.

Kedua: Dari sudut keberkesanan dalam memohon kesembuhan daripada Allah SWT, sepatutnya adalah melalui pertemuan secara langsung antara pesakit dan perawat. Ini bermakna, adalah lebih baik berlaku pertemuan secara langsung dan bersemuka bagi memastikan tidak berlaku salah faham dalam pendekatan rawatan yang dilakukan. Walaupun demikian, tidak dinaikan bahawa kesembuhan itu milik Allah SWT dan bagaimana serta cara untuk berikhtiar mencari penawar itu adalah bergantung kepada usaha manusia itu sendiri tetapi masih perlu berpandukan syariat.

Ketiga: Sekiranya menggunakan kaedah rawatan jarak jauh dengan perawat mendakwa bahawa ada seseorang yang akan datang menjalankan rawatan ketika pesakit sedang tidur, maka pendekatan sedemikian adalah menyerupai amalan perbomohan dan ia adalah diharamkan. Ini bermakna perawat tersebut telah menggunakan pertolongan jin atau makhluk halus dalam rawatan yang dijalankan. Allah SWT telah jelas menyatakan bahawa memohon pertolongan jin atau makhluk halus itu tidak lain melainkan menambahkan lagi kesesatan dan jauh dari pertolongan Allah. Firman Allah SWT dalam ayat 6 surah al-Jin, maksudnya: 

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.”

Keempat: Pertemuan antara pesakit dengan perawat mewujudkan hubungan antara dua insan iaitu hubungan antara pesakit yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan perawat yang berusaha untuk menghulurkan bantuan dan sama-sama memohon kesembuhan daripada Allah SWT. Pada masa yang sama menghubungkan silaturrahim antara meraka. Hal ini bertepatan dengan penjelasan al-Quran yang menyebutkan bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara dan mereka saling tolong menolong pada kebaikan.

Walaupun demikian, pengkaji melihat bahawa tidak salah untuk menggunakan rawatan jarak jauh yang dilaksanakan melalui beberapa pendekatan berikut:

Pertama: Pengkaji sangat bersetuju jika perawat mengambil pendekatan dengan melakukan solat hajat bersama dengan ahli keluarga pesakit, mendoakan pesakit dari jarak jauh tanpa pengetahuan pesakit atau meminta ahli keluarga sama-sama mendoakan pesakit tanpa pengetahuan pesakit agar pesakit itu disembuhkan oleh Allah. Pendekatan ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW dan ia mudah untuk mendapat kemakbulan doa tersebut daripada Allah SWT seperti mana disebutkan dalam hadis sebelum ini.

Kedua: Perawat sentiasa memastikan bahawa kaedah rawatan tersebut tidak menyalahi syariat Islam, tiada unsur keraguan hukum, tidak berunsurkan mistik atau menunjukkan sesuatu keajaiban, dan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah serta tidak menggunakan bahan-bahan rawatan yang diharamkan atau berunsurkan najis.

Ketiga: Rawatan yang dijalankan berlaku secara sedar dan berlaku komunikasi dua hala antara perawat dan pesakit jika menggunakan alatan perhubungan seperti telefon atau menggunakan internet. Kemudian, perawat melakukan rawatan menggunakan ruqyah al-shar‘iyyah yang dibenarkan bukan menggunakan jampi atau mantera yang dilarang. Sebolehnya perawat mendapatkan bantuan ahli keluarga pesakit untuk membantu ketika proses rawatan tersebut.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbincangan yang telah dikemukakan, dapat disimpulkan bahawa kaedah rawatan jarak jauh dari sudut hukumnya adalah berbeza mengikut situasi dan pendekatan perawat ketika rawatan itu dijalankan. Sekiranya perawat menggunakan pendekatan solat hajat, berdoa, menggunakan gambar pesakit atau melalui nama pesakit maka ianya dibenarkan selagi mana syariat Islam dijadikan sebagai landasan utama. Sebaliknya, sekiranya rawatan jarak jauh tersebut melibatkan unsur-unsur mistik atau boleh menimbulkan keraguan atau perawat melakukan perkaraperkara yang dilihat luar biasa maka rawatan seumpama ini sewajarnya dihindari. Ini adalah kerana amat ditakuti seandainya perawat tersebut mendapatkan pertolongan jin atau makhluk halus dalam rawatan yang dijalankan. 

Justeru, rawatan sedemikian sebaiknya dihindari oleh umat Islam kerana menggunakan khidmat dan bantuan jin dalam rawatan bukanlah sebahagian daripada rawatan Islam seperti mana yang dapat difahami daripada irman Allah di dalam ayat 6 surah al-Jin. Oleh yang demikian, kepada semua para pesakit yang sedang berusaha mencari kesembuhan, perkara utama yang perlu dititik beratkan adalah memastikan bahawa kaedah rawatan yang dijalankan oleh pusat rawatan Islam yang dikunjungi adalah tidak meragukan dan mengikut lunaslunas syariat Islam. Demikian juga bagi para perawat, mereka sewajarnya tidak memandang enteng dalam isu yang dibincangkan ini dan perlu komited dalam menyediakan khidmat rawatan Islam yang sejajar dengan syariat Islam.

Sumber:
JURNAL: PENGGUNAAN KAEDAH “RAWATAN JARAK JAUH” DALAM RAWATAN PENYAKIT DI PUSAT RAWATAN ISLAM DI MALAYSIA: SATU ANALISIS HUKUM
oleh: Khadher Ahmad dan Rushdi Ramli

Tuesday, 22 September 2015

Pasti al-Ikhwah Desa Melati 3 Nilai



Pendaftaran Dibuka bagi kemasukan ke PASTI AL-IKHWAH Desa Melati Bandar Baru Nilai sesi 2016

- Bagi umur 4, 5 & 6 tahun
- Pelajar lelaki & perempuan 
- 2 sesi disediakan. Sesi pagi dan sesi petang (transit)


Desa Melati terletak 
- Berhampiran INTI College, Nilai Spring 
- 5 minit ke USIM & Manipal 
- 10 minit ke KLIA
- 15 minit ke Putrajaya, Cyberjaya


Untuk Pendaftaran, sila hubungi:

En Halim : 013-4013296
En Yahya : 010-7916340

Tempat terhad!

FB: Pasti Al-Ikhwah Desa Melati Nilai

Location via Google Maps

Kalam Indah

Sumbangan Dana

Sumbangan Dana

Waktu Rawatan Ramadhan

Rawatan Bangunan

RAWATAN RUMAH & BANGUNAN

Rawatan rumah/ bangunan dijalankan pada HARI KHAMIS (Minggu Pertama & Ketiga) bermula dengan Solat Maghrib sehingga Solat Isyak di tempat tersebut.


Borang rawatan rumah & bangunan boleh diambil dan diisi di Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' Bandar Baru Salak Tinggi.

Bidara Syifa - 012 344 7697

Bidara Syifa -  012 344 7697
Hubungi Ust Kamil

Wangian Doa Syifa'

Wangian Doa Syifa'

Jual Beli Hartanah

Vitamin Untuk Kesihatan

Artikel Pilihan